Jumaat, Disember 31, 2010

Gambaran 2011

Luruskah jalanan kehidupan? atau banyak persimpangan menanti di hadapan? arghh....begitu banyak persoalan kehidupan.

Harus bagiku mencari bearing kehidupan. Tanda panduan yang memungkinkan.

Demi mencari konklusi dan merungkai segenap misteri kehidupan.

Adakah cerah langit itu? Namun, harapan tetap seluas langit. Rezeki nan terbentang...
Akan kugapai semua dan ingin kukongsikan bersama teman.

Selamat Tahun Baru Masihi 2011..;)

Isnin, Disember 06, 2010

Salam Hijrah 1432H

Is it sunrise or sunset?
It is depends in the eyes of the beholder...
Oh Tuhan, ku mohon agar segala kecelakaan dan keluh-kesah berakhir di sini.
Bahkan ku pinta semoga digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
Tuhan, berat sungguh ujianmu buatku di tahun 1431H yang kutinggalkan.
Aku harapkan 1432H mendatang ini membawa sinar harapan yang membahagiakan.
Tuhan, aku sedar, bukan semua baik itu baik dan buruk itu buruk.
Tetapi ya Allah, Engkau ilhamkanlah agar setiap perkara yang berlaku pada diriku dapat kurasa kemanisan dan keindahannya walaupun ia dipandang hina di mata manusia.
Salam Ma'al Hijrah buat semua...;)

Selasa, November 16, 2010

Sebuah pengorbanan...

Tiada pengorbanan seagung Ibrahim dan Ismail
Taat pada perintah Tuhan

Tiada pengorbanan sebesar Siti Hajar
Mengharungi tandus 'Arafah demi mencari secangkir air

Tiada pengorbanan setulus Siti Mariam
Tabah tuduhan fitnah tiada bersuami tapi berzuriat
Melahirkan Isa sendirian di bawah rimbunan tamar

Tiada pengorbanan seteguh Sumaiyah
Iman kukuh di dada
Walau keluarga taruhan nyawa

Tiada pengorbanan semurni ibu dan ayah
Mengharungi derita demi melihat anak berjaya

Salam Aidiladha dariku...

Ahad, November 14, 2010

Roda-roda UTM

Free yourself with cycling. It's really excitement!

Err...Prof Zaini...adakah ini wakaf daripada anugerah merdeka tahun lepas? Tahniah! kerana Prof menyediakan perkhidmatan berbasikal percuma untuk kami. err...Prof Halimaton, nak tanya boleh? Ada bahagian untuk kami daripada hadiah RM500,000 prof dapat tahun lalu ke? hik..hik...(tak malu)

Fitrah manusia, bila orang lain bahagia, kita pun ingin menumpang sama kan? Supaya kebahagiaan itu turut melimpah kepada kita.

arghh...saudagar minyak wangi....

Sabtu, November 13, 2010

Klinik

Aku ke klinik kereta semalam. Medical checkup untuk Encik Bee. Love him much. (hehe...crazy saying those words.) iyelah....ape lagi yang boleh membuatku gembira dan bahagia melainkan orang, perkara dan situasi yang berada di sekelilingku sihat. Termasuklah mesin ciptaan manusia ni.

Kakak penasihat servis ada menyatakan bahawa pengeluaran Myvi akan dihentikan tahun hadapan bagi memberi laluan kepada kereta baru memasuki pasaran. What? I'm quite shock! It's ok if the new design is better than this one. But for sure lah, better kan?

Apepun, Encik Bee tak perlu khuatir kerana cinta padamu semakin mendalam! hik..hik..;)

Rabu, November 10, 2010

Hari Lahirnya

Hari ini hari lahirnya.
10 November 1975.
Lahirnya sihat.
Tapi takdir tuhan menentukan segala. Dia terencat.
Tuhan mentakdirkan hayatnya tidak lama.
23 Ramadan yang lalu tarikh jemputan tuhan untuk dia menghadap tuhannya.

Duhai kakak, semoga engkau damai di sana.
Ketahuilah dikau, aku, mak dan kakak aiza amat merinduimu.
Dan kami yakin, tempatmu sekarang lebih sentosa berbanding dunia fana.
Kerana hayatmu tiada dosa...

Rabu, November 03, 2010

Pantun Kasih I

Sayang kemboja gugur di laman
Putih siantan kembang tak jadi
Jenuh patik menantikan tuan
Adakah patik tuan tak sudi?

Biarkan timba mencari perigi
Guruh di langit hujan mendatang
Seribu tahun patik menanti
Sebelum tuan dikebas orang

Indah puisi dikarang puteri
Manis bersimpuh molek rupawan
Tuan di hati selama ini
Malu rasanya mahu khabarkan


Kuharapkan tuan sudi memberi
Cinta kasih yang kuimpikan
Andai pantun kurang bererti
Harap tuan sudi fahamkan

Isnin, November 01, 2010

Indahnya ukhuwah itu...

Sahabat...
Ketawa kita...kita kongsikan bersama...
Di saat orang lain gembira,
Kita turut merasa bahagia, walau hanya sekelumit cuma

Sedikit pun tidak berasa iri akan dikau
Kerana ukhuwah yang terjalin ini berlandaskan iman...

wahai sahabat luruskan niat
membanggakan diri jangan kau buat
rendahkan hati betulkan makrifat
semoga Allah memberimu rahmat

Ahad, Oktober 31, 2010

Sangkar Emas?

"Alangkah indah di waktu pagi, burung bersiul bernyanyi-nyanyi...
Terbang bebas di angkasa tinggi, hidup bersenang hati.."

"Tidak seperti burung di sangkar, hatinya sedih hidupnya sukar..."

Begitulah antara bait lagu nyanyian Noraniza Idris dan Allahyarham Abdullah Chik.

Hari ini, aku ibarat burung dalam sangkar yang dilepaskan tetapi tetap akan pulang kembali ke dalam sangkar.

Jumaat, Oktober 29, 2010

Zamani

Mak: Yang, yayang nak tau tak?

"Kenape mak?"

Mak: Zamani dah meninggal.

"Hah? Mak ni, biar betul? Bile? Kenape? Sakit ape? "
Aku yang ketika itu sedang memandu terkejut di atas berita itu. Tapi, nasib baik ketika itu sedang tersadai di hadapan lampu isyarat. Kalau sedang bergerak, mungkin aku akan hilang kawalan atau brek dengan tiba-tiba.

"Dia meninggal kat Taiwan," sambung mak lagi.

"Ish mak ni, ntah sape-sape ntah tu. Bukan zamani ah."
Kakak yang sedari tadi mendiamkan diri bermain-main dengan Alif di tempat duduk belakang mula bersuara.

"Bukan Zamani lah dik. Ameng spring tu. Dia kene tangkap sebab dadah."

Ish...ish...mak ni. Jauh benor sasul nya tu.

Mak ketawa dengan rumor yang disebarkan tadi.
Fuh....lega!
..................................................................
Itulah dia mak kesayangan aku. Dia tahu benar yang anak dia ni suka sangat sama Zamani Slam. Inilah dia artis yang pernah menggusarkan hati mak di atas kenyataan aku yang aku mahu berkahwin dengannya. Ish ish...mak...mak...;)

Isnin, Oktober 25, 2010

Kalaulah Doraemon itu benar-benar wujud..


Kalaulah Doraemon itu benar-benar wujud. Dah lama aku cari supaya dia dapat bantu aku mengundurkan masa ke masa yang aku inginkan ataupun paling tidak, melambatkan putaran masa.
Tapi, aku harus sedar, realiti dan fantasi memang sangat jauh berbeza. Cuma aku perlu kuatkan hati agar kuasa yang paling besar sentiasa wujud. Aku ada ALLAH! Ya! Itu wajib aku akui. Namun, semangat yang naik turun persis roda tidak dapat aku hindari.
Tinggal 2 bulan lagi untuk menghantar tesis, ada lagi 'requirement' dari supervisorku untuk aku menambah eksperimen. Ya Allah....bagai luruh jantung ini!
Duhai sahabat pembaca sekalian, tiada lain yang aku pinta melainkan doa dari kalian agar pengajian sarjana yang aku tempuhi ini berjaya sehingga ke akhirnya.
Terima kasih.

Khamis, Oktober 21, 2010

Tudung Sabariah


Ini fesyen terkini tudung di kalangan wanita Malaysia. Tudung Syria namanya. Melihat peredaran zaman tentang imej bertudung ni, aku teringat di zaman 90-an dulu. Sewaktu sekolah agama, ada seorang cikgu memakai tudung persis patung di atas. Cikgu Sabariah namanya. Anak tudung kelihatan sehingga separuh kepala. Murid nakal selalu usik cikgu dengan menarik tudung sehingga ke belakang. Kasihan sungguh cikgu bila aku terkenangkan kenakalan kawan sedarjah.
Cukup-cukuplah mee Siam, selipar Jepun, air Bandung dan kue tiow Hong Kong. Tak salah kalau kita bawa identiti sendiri. Pun begitu, aku menyarankan agar usahlah diterima terus fesyen terkini bertudung ni, sebab bukan semua yang mengikut syarak.

Sabtu, Oktober 16, 2010

Kalau Berpacaran


Berbanding Bencinta dari Faizal Tahir. Lagu ini lebih cepat penerimaannya oleh masyarakat. Lirik ringkas selamba mengena ditambah dengan lagu irama dulu-dulu, cukup sebati dan mudah dihadam oleh halwa telinga. =)

Kalau berpacaran
Memang banyak pantang larang
Menjaga susila Ibubapa adik abang
Apabila berdua
Carilah tempat yang terang
Agar tidak pula Mencuba aksi terlarang

Korus:
Boleh pandang-pandang
Jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang
Bertambah sayang
Biar malu-malu
Biar segan-segan
Kerna malu itu
Perisai orang beriman

Kalau berpacaran
Jangan tunggu lama-lama
Kalau dah berkenan
Jumpalah ayah dan mama
Hantarlah rombongan
Meminang dengan segera
Kalau terlambat kasih mu disambar buaya

Yeah Kita sambung cerita
Kalau kamu berdua
Aku yang ketiga
Aku penambah perasa
Aku lah pendarab nafsu serakah
Hai teruna bikin perangai selamba
Hati si dara kata tak apa
Berani buat terima padah
Kalau tak sedia
Ucap syahadah

Khamis, Oktober 14, 2010

Hilaf

Aku terkejut ketika sampai di kaunter penempahan gelanggang badminton, ada satu pengumuman bahawa En. Ahmad B. Sulaiman telah kembali ke rahmatullah pada 3hb oktober yang lalu (Ahad).

Aku mengenali dia ketika aku mula aktif bermain badminton di kompleks sukan. Di awal perkenalan di kaunter penempahan, biasalah, sedikit saja silap, ade saje bende yang tak kene. Dimarahi olehnya dan akhirnya, aku selalu mengutuk petugas tersebut. Sememangnya dia seorang yang garang dan tegas. Orang lain turut mengakuinya.

Walaupun dia ada dosa dengan aku, aku sudi memaafkan. Tapi aku? Dia telah meninggal dunia, aku tak pasti apakah dosaku diampunkan dia.

Rabu, Oktober 13, 2010

Writing up!

Chapter 1, 2 and 3 were done. Chapter 4, 5 and 6 are in the progress. Hopefully, i can submit my theses by end of this year. Ameenn~~
Semoga aku tabah!

Isnin, Oktober 11, 2010

10.10.10

Tarikh yang hanya ditemui sekali seumur hidup. Jika dipanjangkan usia pun, belum tentu kita sihat dan 'waras'. Ramai yang mengambil kesempatan tarikh itu untuk mengikat tali pertunangan, berkahwin dan macam-macam agenda tersendiri.

Haha...today, i reveal my love story among my labmates. Kelakar betul! Apepun, aku juga memasang keinginan untuk menyimpan satu tarikh keramat yang sudah lama diidamkan. hurmm..... 11.11.11.

Tercapaikah? Aku sendiri belum pasti....

Rabu, Oktober 06, 2010

Bahasa Jiwa Bangsa

Aku yakin, tidak semua orang tahu atau sedar apa yang berlaku dalam bulan ini. Walaupun saban tahun pelancaran demi pelancaran dilakukan, objektif pelaksanaan masih kabur bahkan target sasaran belum tercapai.

Itulah dia nasib "Bulan Bahasa Kebangsaan"! Tahun ini temanya " 1Bahasa 1Bangsa 1Negara". Mencipta slogan ataupun tema tidak sesukar melaksanakannya. Mencipta slogan ataupun tema tidak semudah melaksanakannya. (Nah, kalian tahu berapa lama aku fikirkan ayat sebelum ini? Hasilnya, masih buntu memikirkan mana satu yang betul!)

Pun begitu, aku amat berterima kasih kepada Tok Rimau, Abg Rudy Bluehikari, En. Naganaga dan Kang Jowo (hanya menyebut beberapa nama) kerana membantu aku mengkayakan kembali kosa kata mahupun perkataan-perkataan lama yang aku rasakan suatu ketika dulu amat aku kuasai.

Andai aku ulangi kembali kertas penilaian Bahasa Melayu SPM, aku tidak yakin aku boleh mendapat 'A'.

Selasa, Oktober 05, 2010

Berakhirnya Syawwal


Syawwal hampir sangat di penghujungnya. Tahun ini, bukanlah tahun beraya yang meriah bagi aku sekeluarga. Kehilangan kakak sulung tersayang memberi kesan yang amat mendalam. Dia bukan ada apa-apa bahkan bukan sesiapa pun bagi semua orang kecuali aku, mak dan kakak aiza. Perginya di malam Jumaat 23 Ramadan amat dicemburui oleh semua orang yang mengetahui saat kematiannya. Ya, aku juga cemburu tetapi persoalannya adakah aku layak menerima 'darjat' itu di sisi Tuhan?
Sewaktu hayatnya, aku sering mengucapkan kata-kata ini sambil-sambil menyuap dia makan atau ketika memandikannya; "Kakak, kat akhirat nanti, kakak boleh tarik sepuluh orang masuk syurga tau. Dah tarik mak dengan bapak, tarik yayang tau."
Insyaallah...orang yang tiada dosa sepertinya aku mohon supaya dia ditempatkan bersama-sama para syuhada dan dijanjikan syurga. Ameen....

Khamis, September 02, 2010

Rabu, September 01, 2010

Ambang Merdeka

"Bertenang ye cik. Nanti beritahu keluarga yang pesakit terkena jangkitan pada paru-paru. Paru-paru dia sudah sangat teruk. Lagi dengan buah pinggang pun sama." Jelas doktor berbangsa India itu.
.....
...
..
.
.
Penjelasan demi penjelasan doktor berikan agar aku faham. Andai nafas terhenti, mereka tidak akan berbuat apa-apa melainkan membiarkan dia 'pergi' dengan aman..

Aku yang seawalnya tabah tidak terbendung lagi. Malam kemerdekaanku diselubungi pilu..

Isnin, Ogos 30, 2010

Salam 'Merdeka' dariku...

Setelah sekian lama kita menyusun dan mewarnakan aksara merdeka,

kenapa masih ada lagi warga tanah bersejarah ini

yang kenal huruf tetapi terlupa maknanya

yang kenal angka tetapi terlupa nilainya

yang kenal bunyi tetapi terlupa nadanya

yang kenal rentak tetapi terlupa geraknya

yang kenal lagu tetapi terlupa iramanya

yang kenal akhir tetapi terlupa awalnya.

Setelah sekian lama kita membaca dan menghafal aksara merdeka,

kenapa masih ada lagi warga tanah tercinta ini

yang cerah mata tetapi gelap hati

yang cerdik minda tetapi dungu peribadi

yang cantik bahasa tetapi buruk sikap

yang lembut budi tetapi keras lagak

yang merdu suara tetapi sumbang bicara.

Setelah sekian lama kita mencatat dan merakam aksara merdeka,

kenapa masih ada lagi warga tanah pusaka ini

yang impikan kemajuan tetapi menolak teknologi

yang impikan kemakmuran tetapi membelakangkan ekonomi

yang impikan kesejahteraan tetapi mencetuskan pergolakan

yang impikan kegemilangan tetapi meremehkan wawasan.

Setelah sekian lama kita menganalisis dan mentafsir aksara merdeka,

kenapa masih ada lagi warga tanah bertuah ini

yang terlepas kaki tetapi terikat tangan

yang terlepas mata tetapi terikat jiwa

yang terlepas fikir tetapi terikat cita-cita.

Setelah sekian lama kita menjulang dan memarbatkan aksara merdeka,

kenapa masih ada lagiwarga tanah bertuah ini

yang kasihkan bangsa tetapi bencikan pemimpin

yang cintakan agama tetapi menyelewengkan fatwa.

Setelah sekian lama menghargai dan menghormatiaksara merdeka,

kenapa masih ada lagiwarga tanah berdaulat ini

yang menanam bunga tetapi menabur duri.

Karya: Wadi Leta S.A

(sajak sinis untukku dan semua. pertama kali dengar pada tahun 2005 tapi baru ini dapat dikongsikan.)

Jumaat, Ogos 27, 2010

Hiroko, Sebening Sakura..


Berpisah untuk bermula. Bertemu dengan dia di Jepun tetapi bersama dengan dia di Malaysia. Itulah jodoh ketentuan dari-Nya. Menarik kisah seorang gadis bernama Hiroko. Allah menemukannya dengan hidayah-Nya di Malaysia. Bertemu jodoh juga dengan sebangsa dengannya di sini. Dalam keadaan suami telah lama memeluk Islam. Dia memeluk Islam bukan kerana sesiapa tetapi Allah berfirman di dalam Al-Quran; "Barangsiapa diberi petunjuk oleh Allah, dia akan diberi petunjuk tetapi barangsiapa yang disesatkan-Nya, tiada seorang pun yang akan menjadi penolong memberi petunjuk kepadanya."

Walaupun dapat disaksikan perpecahan berlaku di kalangan umat Islam serata dunia, Hiroko dapat menyaksikan kesepakatan dan perpaduan umat Islam. Solat berjemaah, iftar berjemaah, menunaikan haji berjemaah. Subhanallah!

Semoga muslimnya kelahiran kita disegarkan dengan iman seharum sakura...;)

Rabu, Ogos 25, 2010

Kursus Ketua Platun Siri 1/2010


Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku

Kupercaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya...

( korus )

Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan
Hati ini
Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua...

Selasa, Ogos 24, 2010

Feeling Good?? Oh, no!


Aigoo......

Doki-doki.....

Ottokae...ottokae???

Nandes kah???

Arghh!!!!!!!!!!!!!!!!

(ini baru pembudayaan ilmu, belum viva sebenar...huwaaaa~~~~)

Isnin, Ogos 23, 2010

Peti menghantar surattt....


TokRimau sudah berura-ura mahu menjadi usahawan kuburan. Aku? Banyak idea bisnes dalam fikiran, cuma masa tak mengizinkan. Jadi posmen elok juga!

Entah bila harga setem meningkat aku pun tak tahu. Realitinya, sekeping surat berukuran biasa memerlukan setem 60 sen . Mungkin, inilah kesepakatan 1Malaysia. Posmen minta naik gaji, seluruh rakyat perlu empati.

Semenjak menjadi penolong setiausaha, akulah yang merasai bahang kenaikan harga setem! Kad Raya? Pakai online jer....

Rabu, Ogos 18, 2010

Kembara YADIM ke UTM

Pagi tadi, aku menangis kerana rewang di masjid. Masuk jer ke ruang bawah masjid, angin bawang terus menusuk ke hidung lantas airmata tak terbendung! Aduh...hidung berair bagai. Kalau tatkala dinihari bagus juga!

YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) mengadakan kembaranya. UTM menjadi pilihan. Turut kembara bersama adalah tukang masak dari kumpulan memasak bubur lambuk Kg. Baru Kuala Lumpur! Wah....satu Malaysia dicanang pasal bubur lambuk Kg. Baru. Hmm.....sat lagi nak pi masjid, amek bubur lambuk buat berbuka. Yeayy!!!

Selasa, Ogos 17, 2010

Mulut Masin

"Yang nak tau?" Emak memulakan ceritanya.

"Aritu, Kakak Nano amek ikan atas meja. Mak nak amek. Macam biasalah, takkanlah Yayang tak tahu Kakak Nano macamana kan?" Sambung mak lagi.

"Pastu? Tercekik tak?" Tanyaku.

"Mak pun cakap. "Ikut suka hati engko-lah. Kalau tercekik mak tak tahu."" Jawab mak.

"Pastu Yang, 2 hari dia takmo makan. Bagi milo pun taknak. Mak ingat dia tercekik tulang agaknya. Pastu, lepas subuh mak pun berdoa khas untuk Nor (a.k.a Nano). Pastu esoknya, dia dah ok dah. Tak tercekik dah. Mak pun masakkan bubur untuk dia." Cerita mak lagi.

Merah mata mak ketika bercerita padaku. Aku pun turut sama mahu mengalirkan airmata. Tapi, suasana itu segera aku gantikan dengan lawak agar emak ketawa.

Ya Allah...masinnya mulut ibu.

Jumaat, Ogos 13, 2010

Suatu Ketika Di Bulan Ramadan

Sarapan burger sebelum mara ketika menjadi kadet senior (tahun 2005)

Di bulan puasa ni, terimbau kembali kenangan aku ketika kadet intermediate dulu, sekitar tahun 2004. Fasa medan kem tahunan berlangsung ketika bulan puasa. Fasa CW (Conventional War) yang kami lalui bagaikan peperangan sebenar! Dengan terik mentari ketika mara, pertahanan, dan serangan, cukup memeritkan. Kami bersyukur kerana pengunduran berlaku di waktu malam. Menggali kubu ibarat menggali kubur sendiri. Pokok kelapa sawit yang masih kecil menjadi tempat berteduh. Berdoa mengharapkan hujan, termakbul segera. Ya Allah, sejuk yang amat mengharapkan mentari muncul kembali. Begitulah kenangan. Indah bila dikenang, sengsara di saat kenangan berlangsung.
Lelongan air 100plus, F&N dan kuih karipap berkumandang di segenap penjuru bukit pertahanan menggugat keteguhan iman. Jurulatih kesian dengan kami yang seperti sotong tiada tulang. Ada yang kuat dan ada juga yang terkulai. Di saat berbuka puasa, hujan masih turun mencurah-curah. Makanan dan minuman cukup sebati dengan air segar kurniaan Tuhan. Kami redha. Pengalaman yang akan aku kenang sehingga ke akhir hayat...

Khamis, Ogos 12, 2010

Dua Pertembungan

"Kalau nak sembahyang, buat betul-betul. Jangan asyik keluar masuk aje. Ganggu orang nak sembahyang!" Marah seorang makcik sambil menahan beberapa orang kanak-kanak yang asyik lalu di hadapan jemaah.

Iya, aku turut geram apabila solatku terganggu dek kanak-kanak yang tak henti-henti bermain di masjid. Bukan setakat lalu di hadapan jemaah, bahkan ketika sujud pun mereka melangkaui kepala jemaah. Tangan aku juga pernah dipijak mereka. Dalam hal ini, ibu bapa patut dipersalahkan. Apabila pertembungan dua hukum, yang utama diutamakan. Solat tarawikh sunat hukumnya manakala mengganggu jemaah solat adalah haram dan berdosa. Usah dibawa anak yang masih kecil yang tidak mahu mendengar kata. Kalau dibawa juga, letakkanlah di saf belakang sekali, jangan dicampurkan dengan saf utama.

Satu lagi masalah yang ingin aku bicarakan. Usah chop-chop saf dan kedudukan dengan kain telekung atau sebagainya kerana dikhuatiri ketika jemaah hendak memulakan solat, anda belum sempat sampai dan akan menjadikan saf terlopong. Saf hanya boleh terpisah oleh dinding, penghadang atau tiang.

Fikir-fikirkanlah. 'Ala kulli hal. Wallahu'alam....

Selasa, Ogos 10, 2010

Sinonim

Ramadan = Berpuasa = Syahru Barokah (membawa berkat) = Syahru Tilawah (Bertadarus) = Rahmat = Maghfirah (Keampunan) = Pelepasan Api Neraka = Lailatul Qadar = Solatul Qiam (Tarawikh) = Syaidis suhur (penghulu segala bulan) = Qiamullail

Ramadan = Bazar Ramadan = Air Khatira = Makan banyak = Berat badan meningkat = Lagu Hari Raya Aidilfitri = Iklan Hari Raya di tv = Jualan Murah Hari Raya = Program Masak-memasak di tv = Tukar Perabot baru = Jualan kuih raya di pejabat = Gastrik = Ponteng puasa
..........................................................
Walauapapun senarionya, aku tidak menghukumkan apa-apa. "Bulat air kerana pembentong, bulat Ramadan kerana iman." Wallahu'alam....;)

Selamat Menjalani Ibadah Berpuasa sehingga mencapai ke peringkat 3 (Khususul Khusus), Insyaallah....;) Aminn.....

Isnin, Ogos 09, 2010

Diari Sepagi

Hari ini, aku menjalani medical check-up di Pusat Kesihatan UTM. Untuk melanjutkan perkhidmatan di dalam Askar Wataniah, aku harus berbuat demikian. Alhamdulillah...semuanya berjalan lancar. Sambil menyelam melihat dasar, aku mengambil kesempatan bertemu doktor gigi. Buat scaling. Hmm...puas hati! Senyuman makin berserilah raya tahun ni :D

Kemudian, pergi ke Taman Universiti untuk mencuci gambar tentera berukuran passport. Di awalnya, aku tidak mempamerkan kupon parking kerana menyangkakan di awal pagi, pihak berkuasa tidak meronda. Namun, selepas melihat kelibat, aku segera mempamerkan kupon. Alaahai.... Sambil-sambil menantikan gambar segera siap, aku melihat seorang lelaki meletakkan sesuatu di wiper setiap kenderaan yang parkir. Namun, yang menghairankan aku, kenapa kereta yang 'biasa-biasa' dia letak tapi kereta mewah tidak diletakkan? Bila aku baca heading iklan; "looking for a job in the hotel industry?" Hey...apesal nak double standard ni? Ingat orang berkereta mewah tu tak tengok ke iklan macam ni? Dan ingat kami yang 'biasa-biasa' ni pandang sangatlah iklan macam ni?

Lagi satu yang aku heran dengan pihak berkuasa yang pandang bulu. Depan mata aku, kereta mewah tidak berkupon buat tak nampak aje, tapi kereta aku dan kereta 'biasa', bukan main belek lagi kuponnya. haih..... Kadang-kadang geram, marah pun ada. Baru je parking, dah menyibuk nak tengok kupon. Kalaulah mereka tu benar-benar menjalankan tugas, kenapa sehingga ke hari ini, tempat letak kereta berkupon di kawasan Perling yang dikuasai oleh si mata sepet masih lagi tidak dikuatkuasakan surat saman? Mereka langsung tidak mempamerkan kupon, kenapa tak disaman? Kenapa pihak berkuasa tiada seorang pun di situ? Kenapa? Takut dibelasah mereka kah? hmmm....entahlah...hati tikus!

Selasa, Ogos 03, 2010

Hari Pahlawan

Walaupun telah berlalu pada 31 Julai yang lalu. Aku ingin mengucapkan syukur kerana tradisi lama ditamatkan. Alhamdulillah.....

Tiada lagi kalungan bunga di tugu negara. Upacara syirik secara terangan itu boleh mengundang bencana.

....................................................
banyak cerita mahu dikongsikan. Penat berkursus masih terasa. hmmm....

Selasa, Jun 29, 2010

Perwira

Adinda di medan perang...
Kekanda di medan seni...
Sama-sama berjuang, sama-sama berbakti
Untuk ibu pertiwi...

"Eh? Salah tu." Tiba-tiba emak menyampuk.

"Ha’ah mak. Kawan yang nyanyikan kat Yayang."

"Siapa?" Soal mak.

"Kalau cakap nama, mak jangan terkejut pulak."

"Kenapa?" Soal mak lagi.

"Sebab nama dia TokRimau."

Emak gelak. Hmm..kelakar mungkin.
______________________________________________
Blog ini akan bersawang selama sebulan. Harap maklum.

Sabtu, Jun 26, 2010

Melompat lebih tinggi

Sekadar menjawab tag dari nina aman.
That was my first pic of gaya melompat.
Location: trek stadium Sekolah Sukan Bandar Penawar.
We were very happy even lost in a netball game with supplier company (forgot their name).

ok aman, hehe;)

Isnin, Jun 21, 2010

Kasih Ayah III

Gambar hiasan
Izan bertemu kekasih hati di kilang itu lalu mengikat tali pertunangan setelah setahun perkenalan. Namun, takdir telah menentukan ikatan yang dibina hampir setahun itu putus tak kesampaian. Sejak peristiwa itu Izan berubah sikap. Sikap barannya memuncak. Hilang rasa hormat dan tanggungjawab terhadap keluarga. Sering bertukar kerja.

"Izan, kau nak jadi apa ni hah?"

"Suka hati Izanlah! Mak dengan bapak jangan nak menyibuk! Izan tahu apa yang Izan buat!"

Keras nadanya. Namun, begitulah sikap Izan. Ada saja yang tak kena di mata Izan yang dibuat oleh mak terutamanya bapak. Kasihan bapak, selalu saja dimarahi oleh anak tunggal lelaki kesayangannya itu.

Begitulah Izan dengan perjalanan hidupnya yang selalu ditimpa kepayahan demi kepayahan. Entah berapa kali airmata mak dan bapak bergenang mengenangkan sikap Izan yang sedemikian rupa. Tidak pernahkah terdetik di hati Izan perasaan bersalah memperlakukan mak dan bapaknya sedemikian rupa? Tidak terfikirkah jerih perih membesarkan anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh suatu ketika dahulu? Bukan tidak pernah ditegur oleh ahli keluarga agar berubah sikap, sanak-saudara pun sudah mati akal dibuatnya.

Sakit tua bapak semakin menjadi-jadi. Adakah ketiadaan bapak akan memberi cahaya keinsafan dalam diri Izan? Doa mak dan adik-beradik tidak pernah lekang mengharapkan perubahan Izan. Semoga ada sinar menanti di penghujungnya.

Selamat Hari Bapa Se-Malaysia;)

Jumaat, Jun 18, 2010

Kasih Ayah II

Meningkat remaja, Izan bukanlah seorang pelajar yang bermasalah. Dia pembersih orangnya. Pakaiannya bersih, kemas, segak. Husni, yang menjadi rakan karibnya juga baik, merupakan seorang qari. Merdu apabila mengalunkan Al-Quran. Namun, sudah takdir tuhan, Izan terpaksa menamatkan pelajaran seawal usia 15 tahun setelah gagal dalam peperiksaan SRP. Dia tidak mahu mengulang lagi peperiksaan walaupun didesak bapak.

"Kenapa taknak belajar lagi? Nanti dah besar nak jadi ape?"

"Alah...Izan dah taknak belajar lagi laa...Janganlah paksa-paksa! Alah...banyak kerja guna kelulusan SRP jer...Izan nak kerja! Nak cari duit."

Sikap degilnya sudah menunjukkan tanda-tanda. Husni lulus sehingga SPM. Tinggallah Izan bekerja sebagai operator pengeluaran. Dari satu kilang ke kilang yang lain Izan mencari rezeki. Bukan kerana dia melompat kerja tetapi kerana kilang telah bankrap! Bukan rezeki Izan di kilang pertama tempat dia bekerja. Lalu, rezeki di kilang kedua menunjukkan hasilnya. Izan tidak pernah lupa untuk memberi duit bagi membantu bapak menyara keluarga. Lama Izan bekerja di kilang itu. Dia pernah dihadiahkan pekerja setia lima tahun. Emak dan bapak gembira Izan bekerja di situ dan tidak melupakan jasa mereka. Mereka juga mengharapkan Izan kekal di situ selamanya. Namun, takdir tuhan tak siapa yang tahu...

Khamis, Jun 17, 2010

Kasih Ayah

Izan, dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang sederhana. Punyai ayah yang sudah lanjut usia manakala ibu merupakan perkahwinan kedua ayah setelah perkahwinan pertama gagal. Izan, anak tunggal lelaki di dalam keluarga ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh ibu dan ayah. Dia amat aktif dan lincah sejak kecil bahkan cukup manja. Apabila usia menjangkau enam tahun, ayah menghantarnya ke tadika. Difikirkan hanya hari pertama ayah perlu ada sepanjang masa di sekolah tetapi sepanjang tahun ayah terpaksa menunggu di tadika kerana ugutan daripada Izan yang enggan belajar sekiranya ayah tiada di sisi. Ayah tua yang sudah pencen itu hanya menurut kehendak anak tunggal lelaki kesayangannya itu.

Menjangkau usia tujuh tahun, ayah menghantarnya ke sekolah kebangsaan. Ayah menunggang basikal menghantar Izan ke sekolah. Basikal tua itu cukup berjasa. Ia merupakan basikal daripada beca yang pernah ayah bawa suatu ketika setelah bersara. Namun, kudrat kakinya tidak tahan lama, ayah berhenti dari pekerjaannya itu. Ayah sedar, dia perlu mencari sesuap nasi untuk anak-anaknya yang masih kecil. Lalu, tanah yang mereka sekeluarga diami itu dibangunkan dengan kelapa sawit.

"Izan, belajar pandai-pandai ya? Nanti besok besar, Izan boleh hidup senang, boleh jaga bapak dengan mak."

"Iyalah bapak, Izan tahu."

Rabu, Jun 16, 2010

Hujung Minggu Yang Panjang

Khamis lepas, aku pulang ke kampung.

1. Mengambil alih tugas emak menjaga bapak kerana emak ke Penang menghadiri majlis perkahwinan anak saudara. Bapak terlalu uzur untuk berjalan jauh, lantas tidak diberi keizinan kerana faktor kesihatan.

2. Tiada siaran televisyen yang menarik. Aku berterima kasih kerana kalau tidak kerana Piala Dunia, mungkin aku akan lebih bosan. Walaupun aku penyokong Argentina tetapi aku menjangkakan England akan menjuarai Piala Dunia kali ini kerana mereka memiliki 6 orang bintang yang hebat seperti Wayne Rooney, Steven Gerrard, Ashley Cole, John Terry, Aaron Lennon dan Frank Lampard berbanding negara lain yang hanya memiliki seorang bintang ataupun tiada langsung. Walaupun begitu, keputusan seri di perlawanan pembukaan amatlah mengecewakan!

3. Di samping bola sepak, badminton terbuka India mencuri tumpuan. Tanpa pemain ternama, perlawanan tersebut tiada serinya. Aku kecewa dengan permainan Wong Mew Choo yang kalah kepada pemain tidak ternama India tetapi tahniah kepada Fairuzizuan-Zakry yang menjuarai beregu lelaki. Yang kelakarnya, di samping smash bulu tangkis, aku rasa banyak lalat yang mati. Sedangkan komplek sukan badminton UTM yang cikai pun tiada lalat, macamana kejohanan besar seperti itu ada banyak lalat? Adakah kerana faktor negara India?

4. Sebelah pagi aku sibuk melakukan aktiviti harian suri-suri rumah. Petang mulalah tak tahu nak buat apa. Memandangkan aku memang tidak biasa tidur petang, siaran ulangan bola sepak jadi pengisi masa lapang. Aku tiada kudrat membuat tesis, cuma kadang-kadang tersentuh sikit-sikit aje.

5. Ahad, membuat panggilan kepada kakak bertanyakan jam berapa berangkat pulang. Sedih mendengar apabila dinyatakan bahawa Isnin baru bertolak balik, itupun akan bawa emak berjalan-jalan di Cameron Highland. Huaa~~~

6. Awal pagi Selasa baru tiba di rumah jam 0100H. Petang Selasa baru aku balik ke JB. Bersalaman dengan bapak dan emak, lalu ayat ini keluar dari mulut emak, "Terima kasih sebab jaga bapak." Ya Allah, airmata seakan laju mahu keluar tapi aku tahan.

Emak, apalah sangat menjaga bapak selama 5 hari berbanding emak menjaga aku selama ini.

Khamis, Jun 10, 2010

Ujian Lemak

Hehe... buah tangan dari USA. Adik kawan semakmal bagi. Suka sangat!
hmm...sedapnya ^^

Adakah ia antara penyumbang kepada kadar lemak dalam badan? Siapa kata aku tak gemuk? ish...ish....lihat. Aku ada lebihan lemak sebanyak 1.7kg! Argh.... BMI pun dah nak sampai tahap yang ideal paling maksimum. Sempat ntah tidak nak menguruskan diri ni? huaa~~

Rabu, Jun 09, 2010

My Lovely Panda ;)

Di sini ada satu cara bagaimana untuk kita menguji keberkesanan antivirus yang kita guna. Caranya amat mudah sekali.

1) Create new text file dengan right click mouse --> NEW ----> PILIH NOTEPAD atau TEXT DOCUMENT

2) Type X5O!P%@AP[4\PZX54(P^)7CC)7}$EICAR-STANDARD-ANTIVIRUS-TEST-FILE!$H+H* di dalam file notepad tadi.

3) Namakan file tadi dengan eicar.com. Ataupun save as dekat "save as type" ambik all dan file name letak "eicar.com".

4) Tengok sama ada antivrus anda akan delete/kesan atau tidak file ini.

5) Kalau tak dapat kesan maknanya anda harus bertukar ke antivirus lain. Jangan risau file ini tidak berbahaya. Aku dah test dekat laptop aku dan sejurus rename file, Panda Antivirus aku terus delete. Tak sempat nak berbuat ape-ape. Hebat!

Sumber: link

Isnin, Jun 07, 2010

World Cup Fever

Aku bagaikan Misa-e, ibu kepada karektor Crayon Sin Chan yang menggemari barangan free. Bukan dari azali tabiat itu menular, tetapi baru-baru ini je..

Aku yang tak pernah beli jajan Jack n Jill yang mahal-mahal itu, boleh teruja dengan barangan percuma yang ditawarkan dalam setiap bungkusan. Demi mendapatkan negara kegemaranku (Argentina), aku berusaha membelinya satu demi satu. Itulah hasilnya, Argentina tak dapat, duit melayang dan kolestrol meningkat hasil daripada tabiat makan snek kentang yang memang terbukti berkolestrol tinggi. Walaupun akal waras menimbang yang kemungkinan mendapatkan negara kegemaran amatlah rendah!

Sembilan bungkus aku beli. Total duit lebih kurang RM 25. Aku dapat Paraguay, 2 Slovenia, Serbia, Filipina, Honduras, 2 Switzerland (1 dah bagi kawan) dan satu bungkus hampa kerana tiada hadiah (penipu!!!!). Portugal itu aku dapat melalui kawan kepada rakan serumah yang bekerja di Jack n Jill. Hmm...dahsyat kan???

Bila lidah dah tak tahan dek kemasinannya, aku berhenti membeli. ish...ish... Sebenarnya aku harus berjimat di saat genting masalah kewangan yang menimpa diri ini. Hmm...terbayang di kotak fikiran, ada sesiapa yang berminat mahu membeli 'keychain' itu dari aku?? hehe...

Rabu, Jun 02, 2010

Kerana Sebiji Epal Itu...

Berborak dengan Nadia (bekas coursemate dan housemate), aku mendapat quote yang berikut.

Wahai muslimah..sebaik-baik wanita adalah wanita yang solehah..sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah..Perhatikan wahai Muslimah, perilaku sepohon epal yang rendang.Apabila musim berbuah berkunjung tiba, akan tumbuh buah-buah ranum.Merah dan gebu.Manis sekali.Jadi pada ketika ini banayak 'tangan-tangan' yang kepingin untuk merasa, memetiknya dengan rakus.Kesemuanya berebut- rebut untuk memetik untuk merasa kemanisan epal- epal yang merah masak.

Epal- epal ini banyak dikalangannya, yang merah ranum lagi manis, dengan sendirinya dan dengan sengajanya menjatuhkan diri sendiri ke tanah.Tanpa perlu bersusah payah untuk dipetik.Tatkala epal ini jatuh ke tanah,tangan-tangan yang rakus ini dengan tangkas mencapainya dan dimamah dengan serakusnya.Ada dikalangan epal ini, yang jatuhnya tidak dihiraukan oleh tangan-tangan yang bersih,lalu dibiarkan ia membusuk di tanah,sebagai habuan tupai-tupai nakal yang berkeliaran mencari rezeki, tanpa perlu bersusah payah menggapainya sendiri.Bagi tangan-tangan yang bersih ini,epal yang baik dan berkualiti,letaknya bukan ditanah,digumpali dengan kotoran dan sampah.Hilang sudah tarikan warnanya, serta kemanisan buahnya.Mana mungkin epal sebegini menjadi pilhannya?

Nun, jauh di atas, epal yang terbaik dan yang paling ranum akan kekal ditangkai.Merah dan menggebu.Sukar untuk dilihat kerana letaknya disebalik daun-daun sebagai perlindungan.Tangkainya juga tinggi,susah untuk digapai.Hanya yang benar-benar ikhlas berhajat untuk mendapatkan epal yang terbaik ini akan berusaha untuk mendapatkannya, bukan tangan-tangan yang kasar lagi rakus kerana hanya epal yang rendah akan menjadi pilihan mereka, selayaknya bagi mereka.Walaupun kadangkala epal terbaik ini risau tidak disunting mana-mana tangan manusia.Namun dia yakin,bahawa janji Allah itu pasti.Jadi, ia akan kekal dimana tempatnya berada.Hanya tangan yang bertuah,akan berusaha mencari dan mendapatkannya.Tidak boleh direntap begitu saja sebaliknya perlu dipetik dengan cermat agar buahnya tidak jatuh dan luka.Agar bisa dinikmati secangkir madu dari manisnya epal yang terlindung..merah..segar..dan ranum..Hanya yang bertuah akan memiliki dan hanya yang bertuah yang dapat menikmati.

Khamis, Mei 27, 2010

Bunga 2

Tak usah ditanya mengapa ku pilih
Bunga yang mewangi terliar berseri
Yang tak akan nampak di mata pun
Berwarni dari lain-lain
Segan untuk aku sapa
Walau ada maksud yang ku sembunyi

Pernah ku mencuba terima seadanya
Sayang ia selalu calarkan sudut hati ku
Hingga lelah jiwa ku dikecewa
Yang tak mungkin berpaling kembali
Namun ku yakinkan nanti
Tuhan pasti beri gantinya

Ku mohon kau yang indah pada mu
Untuk ku tatap menawar resah ku
Kekal aku di situ harungi cinta

Dan aku pohonkan yang baik
Bersantun kata kata tentang cinta
Bicarakan rindu pada ku
Mengharum selamanya

Lirik lagu: Bunga (Exist)

Rabu, Mei 26, 2010

Bunga

Seorang budak perempuan berjalan di sebuah taman yang dipenuhi bunga yang mekar dan cantik lalu dia memetik sekuntum bunga tersebut sambil diperhatikan oleh pekebun bunga.

Pekebun: Kenapa adik memetik bunga tue?
Budak perempuan: Saya suka bunga, sebab itu saya petik untuk dibawa pulang ke rumah.

Pekebun tersebut tidak marah walaupun budak perempuan telah memetik bunga tersebut lalu meneruskan kerjanya menyiram bunga-bungaan yang mekar berkembang itu. Budak perempuan itu bertanya pula kepada pekebun.

Budak perempuan: Kenapa pakcik menyiram bunga-bunga di taman ini?
Pekebun: Sebab pakcik suka bunga. Sebab tue pakcik menyiram bunga-bunga di sini agar ia tetap mekar berkembang dan pakcik boleh melihatnya selalu.
Budak perempuan itu terdiam lalu menanam kembali bunga yang telah dipetiknya. Tapi sayang seribu kali sayang, bunga itu tidak boleh kembali seperti asal...

credit to my friend for the sweet picture taken in Korea: link

Sabtu, Mei 22, 2010

From BadBoy to GoodBoy

American Rapper converts to Islam. Subhanallah...Alhamdulillah...

Khamis, Mei 20, 2010

Ilmu Seluas Angkasa

It is great to share ideas with other people. How and what people think when they see such human design. Although it is not real, just a design from Architecture School of Paris La Seine student for Stockholm Library, but it can create a good knowledge sharing.

Source: link

Selasa, Mei 18, 2010

Badminton oh Badminton X

Oklah, ini siri terakhir tentang badminton untuk bulan ini. Maaf kerana ke'obses'an aku terhadap dunia sukan ini.

Berikut pendapat aku:-

1. Adakan peraduan macam 'soccer kids' atau yang serupa dengannya. Bukan bola sepak sahaja yang perlukan perhatian.

2. Mana perginya jaguh-jaguh badminton di sekolah-sekolah, maktab-maktab bahkan IPTA/IPTS? Kenapa tidak diserapkan dalam senarai skuad negara?

3. Kurangkan kontroversi yang melanda BAM atau mana-mana persatuan badminton.

4. Gabung semua persatuan badminton daerah dan negeri supaya wujud satu badan induk yang kukuh. Tidak kiralah kerajaan ataupun swasta. Mana perginya Nusa Mahsuri yang telah mencungkil bakat Roslin dan Hafiz Hashim?

Kita terlalu mencari Mokhtar Dahari yang baru sedangkan tanpa kita sedari kita bakal kehilangan era adik-beradik Sidek yang telah menggantikan era Punch Gunalan. Ketahuilah, antara penyebab terkenalnya Malaysia di dunia ini ialah badminton.

Isnin, Mei 17, 2010

Badminton oh Badminton IX

Post-mortem punca kekalahan pasukan badminton negara. Oppsss.....terlebih sudah....

(kenapa mak-mak datin suka peluk pemain badminton? salam sudahlah...)

sumber: di sini

Ahad, Mei 16, 2010

Badminton oh Badminton VIII

Berusia 27 tahun. Sudah memenangi 3 kejuaraan dunia, 4 All England dan emas di sukan Olimpik. Ternyata dia dinobatkan terhebat di zamannya bahkan juga terhebat dalam sejarah badminton dunia! Anak emas badminton China ini sering mencuri tumpuan dengan gelagatnya yang selalu mempersoal juri perlawanan, sikapnya yang sering menjengkelkan pihak lawan bahkan rakan seperjuangannya juga kadang-kala tidak selesa dengan sikap panas baran dan disiplin yang ditunjukkan. Namun, kemenangan demi kemenangan yang diraih seolah-olah menutup mata semua pihak bahkan jurulatih tentang sikapnya yang padaku itu sangat berlagak.

Bukan menidakkan kehebatannya, tetapi aku tidak sabar menanti siapa yang mampu menyaingi Lin Dan yang cukup sempurna dalam arena badminton dunia!

Tahniah buat Korea yang menidakkan ramalanku dengan merampas Piala Uber daripada China dan tahniah kepada China yang mencipta sejarah merangkul Piala Thomas buat kali keempat berturut-turut.

Jumaat, Mei 14, 2010

Badminton oh Badminton VII

Harapan musnah. Impian terkubur. Mengharapkan keajaiban berlaku di bumi sendiri tidak kesampaian. Tuah kita belum tiba agaknya.

Aku memasang impian untuk melahirkan seorang wira dalam arena ini kelak. Akan aku didik supaya 'dia' menjadi orang harapan negara. Bukan aku sahaja, aku mengharapkan kalian juga!

Dapat aku gambarkan betapa indahnya andai kejayaan berada di genggaman kita.

Manisnya.....

Badminton oh Badminton VI

Ramalan aku, pertemuan ini yang bakal berlaku petang nanti:

Lee Chong Wei - Lin Dan

Koo Kien Keat/Tan Boon Heong - Zhendong/Xu Chen

Wong Choong Hann - Chen Jin

Fairuzizuan/Zakry - Cai Yun/Fu Haifeng

Hafiz Hashim - Bao Chunlai

Jangan menghukum terlebih dahulu sebelum menilai. Ketepikan dahulu masalah disiplin yang ditunjukkan oleh Fairuzizuan. Hukumlah dia daripada menyertai perlawanan selepas ini. Perlawanan hari ini amat penting. Jangan turunkan pemain 'bidan terjun' kerana bimbang akan memakan diri. Bukan menidakkan kebolehan pemain muda Hoon Tien Haw, tetapi keserasian dan pengalaman amat penting.

Aku optimis meletakkan Malaysia memenangi perlawanan ini dengan 3-2. Amiinnn.....

Rabu, Mei 12, 2010

Badminton oh Badminton Siri V

Malam ini, aku lebih diam berbanding semalam. Teman serumah pun kehairanan dengan perubahan ketara aku ketika menyaksikan perlawanan kegemaran. Namun, di dalam hati, seperti sedang meletus gunung berapi dengan lahar dan debunya. Lantas hangat pipi terasa selepas negara mendahului 2-0.

Iya. Itulah aku yang mudah mengalirkan airmata pada setiap perkara yang menjadi kesukaan aku. Sekalung tahniah buat skuad badminton negara. Walaupun laluan sukar menanti Jumaat nanti, hadapilah dengan senyuman.

Sebenarnya kemenangan percuma ke atas Nigeria menyebabkan kita tiada perlawanan pemanas badan bagi menyesuaikan diri dengan gelanggang dan persekitaran. Usah menoleh lagi ke belakang. Banyak pengajaran daripada setiap perkara dan perbuatan. Usah leka. Jadilah luar biasa!
Tidak dilupakan, sekalung tahniah kepada pasukan hoki kebangsaan yang membenam juara bertahan India dengan 5-2. Peluang masih terbuka. Kalaulah di rumah sewaku ada astro, aku pasti akan memegang alat kawalan tv. hehehe...

Badminton oh Badminton Siri IV

Kecewa. Itulah yang boleh aku ungkapkan menyaksikan kekalahan mengejut Malaysia ke atas Jepun untuk menafikan negara menjuarai kumpulan D. Aku ramalkan Kenichi Tago memberikan saingan sengit buat Chong Wei, tetapi sebaliknya berlaku ke atas beregu Fairuzizuan-Zakry.

Benar kata Misbun Sidek, "Jangan perkecilkan Jepun." Pada pandangan aku, pasukan Jepun tidaklah sekuat mana cuma aku terkilan dengan permainan selamba oleh pemain Malaysia terutama pasangan beregu kedua yang kelihatan kekok dengan gandingan dan gelanggang sendiri!

Aku sama sekali tidak menyangka begini kesudahannya. Laluan sukar bakal menanti. Andai kejayaan dilakar melalui jalan sebegini, mungkin kejayaan itu lebih indah.

Walaupun skuad Piala Thomas 2010 ini bukanlah skuad terbaik yang pernah dilahirkan. Aku yakin, jika memang sudah rezeki kita, ia tetap akan menjadi milik kita. Amin....

Selasa, Mei 11, 2010

Kebangkitan

Ahad lepas, aku mengambil keputusan untuk balik ke kampung dengan tiba-tiba. Langsung tidak memberitahu rakan serumah. Buruk perangai betul! Berehat puas-puas di kampung amat melegakan. Sambil-sambil menonton siaran langsung badminton. Tetapi di sini, aku ingin berkongsi cerita tentang kebangkitan pasukan hoki kebangsaan yang suatu masa dahulu merudum.

Aku ingat lagi ketika Abu Bakar dan Mirnawan mengepalai pasukan hoki negara. Negara berada di tangga kelima dunia! Selepas Pakistan, Jerman, Australia dan India. Cukup membanggakan. Tetapi selepas mereka bersara, hanya tinggal S. Kuhan dan Chua Boon Huat untuk membimbing rakan sepasukan yang masih mentah. Sejak itulah, kebanyakan 'Cap' yang disertai membawa kecundang dan kedudukan Malaysia sebagai pasukan yang digeruni merosot.

Namun, pada Piala Sultan Azlan Shah yang sedang berlangsung ini, aku dapat merasai kegilaan itu bakal muncul kembali. Menyaksikan perlawanan Malaysia-Australia yang berkesudahan kalah 1-2, aku yakin, Malaysia bakal menggegarkan kembali arena hoki dunia. Dengan gandingan Madzli, Tengku Ahmad Tajudin, Faizal Saari, Amin, Hafifi, Azlan Misron dan penjaga gol S.Kumar, aku yakin skuad ini bakal menyerlah. Masih muda dan banyak lagi masa untuk membawa kegemilangan itu.

Selain badminton, hoki antara permainan yang aku gemari. Walaupun aku kurang mahir dalam permainan ini, tetapi banyak kenangan antara aku dan hoki terutama ketika menjadi penjaga gol untuk SUKAM Kolej 11 tahun 2005 dahulu. Indahnya kenangan itu....

Sabtu, Mei 08, 2010

Badminton oh Badminton Siri III

Esok, maka bermulalah pertemuan jaguh-jaguh badminton dunia.

Percaturan aku untuk skuad badminton negara? Aku siapa. Bukan jurulatih mereka malah jauh sekali orang-orang penting BAM. Tapi ketahuilah, bukan Dr. Hasmah seorang sahaja peminat No.1 badminton nasional. Aku juga mahu mengwar-warkan bahawa aku juga peminat No.1 badminton negara.

Meletakkan Chong Wei sebagai peneraju utama dengan memegang ranking No.1 dunia, sudah tentu kekecewaan amat jauh sekali diharapkan daripada berlaku. Begitu juga dengan Kien Keat-Boon Heong yang juga No.1 dunia. Tinggal satu mata lagi ditagih untuk merealisasikan impian merampas Piala Thomas.

Andai disandarkan pada Fairuzizuan-Zakry, aku harap mereka bermain dengan luar biasa seperti mana di awal kemunculan mereka dahulu. Andai Chong Han, gunakanlah pengalaman luas yang anda miliki. Bagi Kuan Beng Hong, walaupun masih mentah, anda bertuah kerana telah menjadi orang harapan negara di lapangan ini. Hargailah ia sewajarnya...

Sekarang, aku harap seluruh rakyat Malaysia sentiasa memperkatakan yang positif sahaja apabila membincangkan tentang skuad badminton negara ketika ini. Batalkan segala yang negatif dalam minda separa sedar anda. Semoga impian menjadi realiti. Amin....

Jumaat, Mei 07, 2010

Kejutan

Surprise from Labmate. Aslamiah Sarju ;) Thank you very much ;)

Badminton oh Badminton Siri II

Seperti kita sedia maklum, Piala Thomas dan Piala Uber bukanlah acara perseorangan. Ia acara berpasukan negara. Walau sehebat manapun anda, tanpa membimbing rakan sepasukan, anda tidak akan ke mana-mana. Jauh sekali merangkul gelaran. Andai ada orang melabelkan All England acara berprestij, aku tetap melabelkan Piala Thomas sebagai yang terulung.

Berdasarkan perkiraan aku, China dibarisi pemain muda yang hebat. Ini dibuktikan dengan ranking dunia ketika ini, dalam 10 ranking teratas kebanyakannya dibarisi pemain China. Lin Dan No.2, Chen Jin No.3, Bao Chunlai No. 8 dan Chen Long No.10. Manakala beregu lelaki pula Zhendong-Xu Chen dan Cai Yun-Fu Haifeng masing-masing berada di ranking No.5 dan No.8 dunia. Maka percaturan mereka tidak begitu sukar untuk meletakkan harapan pada setiap pemain. Melainkan pemain dibelenggu dengan kecederaan.

Bagi Piala Uber pula, tiada keraguan meletakkan sasaran kejuaraan sekali lagi menjadi milik mereka kerana Piala Uber seolah-olah telah menjadi hak milik kekal China!

Tidak kurang hebatnya pemain dari Indonesia dan Denmark. Walaupun dibarisi pemain veteran, kemungkinan kemenangan berpihak kepada mereka juga tinggi. Badminton dan bola sepak adalah sukan yang banyak bezanya. Andai ketangkasan menjadi keutamaan dalam sukan bola sepak, faktor usia boleh menjadi penghalang. Tetapi dalam sukan badminton, kematangan dalam corak permainan dan pengalaman taktik amat ditagih. Maka, faktor usia sama sekali bukan satu halangan malah boleh menjadi satu igauan ngeri buat pemain muda.

Aku dapat merasakan kebangkitan pemain-pemain dari Korea. Walaupun setahun jagung dalam sukan badminton, bijak mengawal permainan dan mengamalkan corak serangan seawal perlawanan bermula boleh menjadikan pemain lawan hilang arah andai tidak diatasi segera. Pemain Korea memiliki kelebihan itu.

Khamis, Mei 06, 2010

Curd Puding Cinta

Bahan-bahan:
Setin susu cair, sepeket serbuk curd puding, 2 sudu besar gula (ikut suka), air 2500ml.

Cara memasak: Masak sehingga mendidih campuran air, susu dan gula. Padam api. Masukkan serbuk curd puding dan kacau sehingga sebati. Tuang dalam bekas.

Insyaallah, kepada mereka yang berdekatan. Curd puding cinta akan sampai di hadapan pintu anda esok pagi. Hanya ini yang mampu aku berikan sebagai hadiah untuk kalian. Ini juga merupakan tanda kesyukuran di atas cinta luhur yang Allah anugerahkan kepada kedua orang tuaku yang telah melahirkan aku.

Terima kasih Tuhan kerana menciptakan roh dan jasadku.
Terima kasih mak dan bapak kerana telah melahirkan dan membesarkan aku.
Terima kasih semua kerana sudi berkawan dengan aku.
Kepada yang membenciku, terima kasih kerana membantu aku menghisap diri.

(tahun ini, ia jatuh pada hari Jumaat. Alhamdulillah....erkk...dah 26tahun beb usiaku. Argh....it doesn't matter. It's just a number! eceh....)