Selasa, Disember 27, 2011

Oh Cik Biru ;(

Cik Biru sakit, aku pun turut sama merasainya. Semalam, ke klinik kereta, baru aku tahu yang cik biru agak tenat tapi dia 'menyembunyikannya' atau aku yang kurang mengerti. oh~

Sport Rim bengkok, absorber bocor, chamber bengkok dan ditambah dengan kehausan keempat-empat tayar.  Belum lagi ditambah dengan rutin servis. Aduhh ~ Terjelepuk sekejap...

Agak tenat rupanya sayangku itu. Bertabahlah duhai cik biru dan juga.....aku! (huhu.....)

Isnin, Disember 12, 2011

Demi Sekaki Payung

Tanpa dirancang, aku mahu menjemput kepulangan jiran di hentian bas yang berbetulan tibanya di waktu makan tengahari. Sengaja bangun bermalasan di hujung minggu untuk membenarkan badan berehat secukupnya telah menyebabkan aku keberatan untuk memasak. Cuaca yang redup dan dingin seolah-olah telah mengizinkan aku untuk berbuat begitu. Aku hanya mengenakan kemeja-T lengan panjang, seluar sukan dan tudung ekspres untuk menjemputnya. Juga berstokin tangan dan kaki seperti biasa. Tanpa mengetahui perancangan Allah, jiran yang mempunyai agenda tersendiri telah mengajakku ke suatu ekspo.

Puluhan ribu manusia mengunjungi ekspo tersebut dengan berpakaian sempurna melainkan aku. Berlegar-legar di situ selama hampir 3jam! "Oh Tuhan, hanya Engkau yang tahu perasaanku walaupun cuba aku sembunyikan dengan sedikit keyakinan." Kehadiran beberapa orang kenamaan yang tidak berapa kukenali, dimeriahkan dengan persembahan daripada pavilion setiap negeri, deejay-deejay Hot Fm, Linda Onn, Ally Iskandar dan Mejar Dr Faiz Khaleed! Oh~

Aku ditarik oleh jiranku ke pentas utama yang ketika itu sedang berlangsung program bual bicara bersama angkasawan kedua negara. Oh~ Ditarik untuk duduk di bangku barisan keempat sudah cukup untuk memperlihatkan wajahku yang tidak semegah ini. Oh~ Aku memberanikan diri untuk melihat wajah Ally. Ternyata dia juga memandangku dan tersenyum. Oh~ Aku mengumpul kekuatan dan keyakinan untuk bertanyakan soalan kepada Dr. Faiz dan ternyata pandanganku terhadap Ally tidak sia-sia apabila pengantara itu memilih untuk menghulurkan mikrofon kepadaku.

"Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu'alaikum wbt. Rasulullah saw bersabda; "Seandainya di tangan kamu terdapat benih sedangkan di hadapanmu adalah kiamat, teruskanlah usaha yang sedang kamu kerjakan." Dr. Faiz, apa pandangan Dr. Faiz, pada ketika negara telah bersedia untuk membeli 10 buah jet pejuang sukhoi, negara seolah-olah telah menggadaikan keselamatannya sendiri dengan menunda pembelian tersebut demi menyalurkan dana tersebut kepada dua orang warganegaranya menjalani latihan untuk menjadi pengembara angkasa lepas yang pada ketika ini memperlihatkan kesan daripada penghantaran itu tidaklah seberapa. Saya bertanyakan ini kerana Dr. Faiz juga merupakan seorang anggota tentera."

Namun, gugup apabila Ally berada di sebelahku, hanya perkataan ini yang keluar; "Apa perasaan Dr. Faiz di saat negara menunda pembelian pesawat sukhoi untuk menampung perbelanjaan pembelajaran angkasawan ke Rusia yang kelihatan seolah-olah telah menggadaikan keselamatan negara." Oh~

Dan oleh kerana menghangatkan suasana dengan bertanyakan soalan, aku dihadiahi sekaki payung tajaan MITI. oh~


Jumaat, Disember 02, 2011

Manisnya Kurma Ini ;)

Selamat Hari Jumaat; penghulu segala hari. Menonton rancangan agama memang sentiasa mencetus dan membuahkan semangat untuk menjadi insan yang lebih baik.

Menonton Semanis Kurma malam tadi dengan topik "perlukah sekufu'?" sangat memberi manfaat. Kufu' memang sangat dituntut dalam Islam lebih-lebih lagi untuk lelaki agar tidak menjadi bahana pada masa mendatang.

Antara butir-butir mutiara daripada Ustaz Badlishah Alauddin ialah:

1. Lelaki seharusnya memiliki 3 kunci terlebih dahulu sebelum meminang kaum hawa iaitu kunci rumah (tak kesahlah rumah sewa atau rumah sendiri), kunci kereta ataupun motosikal dan kunci pejabat (kalau takde pun, kunci locker pun memadai...)
==> Justeru, apakah maksud disebaliknya? Seorang lelaki harus memiliki kerjaya!

2. Lelaki juga harus berupaya untuk 3 ras (Beras, Keras, Waras). Nak ada beras, mestilah perlu kerja. Keras atau berkeras (tegas) pada tempatnya. Waras, kalau orang jawa cakap maksudnya sihat. Makanya, perlu waras dalam membuat keputusan dan sihat untuk memimpin keluarga.

Dan perkongsian ilmu ini ditutup dengan HARMONI (hormat-menghormati,...,ramah-mesra,..., OK selalu,... dan ikhlas). huhu...maaf, tak berapa ingat. Namun, keharmonian itu sudah melambangkan kerukunan.

Dan seharusnyalah aku bersyukur dengan cuaca gerimis malam tadi yang mengizinkan aku menonton rancangan kegemaranku ini. err...syaitan takut nak bertenggek kat ariel bila hujan kot! ;)




Sabtu, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah 1433H


Benar, peristiwa hijrah Rasulullah bukanlah berlaku di bulan Muharram. Tarikh bukan suatu persoalan. Ruh penghayatan hijrah itu lebih penting. Setiap penghijrahan itu menuntut perjuangan dan pengorbanan. Jangan takut kerana kita punyai penolong Teragung! Jangan kita hanya menunggu 'seru' itu datang, kerana 'seruan' itu telah lama wujud sejak penciptaan manusia di alam ini.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 218)


Selasa, November 22, 2011

Harimau vs Falcon

 Kredit gambar kepada Info & Ranking Bola Sepak Malaysia

Tahniah! Syabas! Aku amat bangga dengan permainan yang dipersembahan. Bagai nak luruh jantung ini menonton bola sepak sendirian. Namun, aku 'ditemani' jiran-jiran di seluruh taman ini yang turut sama menyaksikan perlawanan malam tadi. Jeritan, tepukan bergema setaman. ;)

Harimau dan Falcon cukup sinonim dengan ketenteraan. Harimau untuk Pasukan Gerak Khas (komando) dan Falcon untuk mana-mana kompeni dalam unit. Begitu juga dengan sukan. Kalau kita perhatikan, kekuatan setiap pasukan akan digambarkan dan ditafsirkan melalui perwatakan seekor haiwan. Begitu indahnya ciptaan Yang Maha Agung yang menciptakan. Aku sangat suka perasaan ini!

Kalaulah aku berada di kampung, betapa seronoknya kerana mak dan bapak akan teruja dengan semangatku. Begitu juga Alif (baru berusia setahun ketika itu) yang pernah mengekek ketawa tak henti-henti melihat telatah mak usu dia yang pada ketika itu sedang menyaksikan perlawanan badminton antara Koo-Tan dan Jung-Lee (kalau tak silap aku). Mungkin kelakar pada Alif ;)

Ternyata sukan telah menyatukan semua~

Jumaat, November 18, 2011

Kenangan mengusik jiwa


Sebagai ketua keluarga, Merah selalu mengalah apabila dihidangkan hanya satu pinggan.  Dan kerana tugasnya sebagai ketua keluarga, kami hormati haknya. Mak amat prihatin dengan kucing kesayangannya. Walaupun kini ada pengganti, namun tetap tidak dapat menandingi Merah. Kalaulah mak tahu aku ada koleksi gambar Merah anak-beranak, apa perasaan mak ek? =(

Rabu, November 16, 2011

Bintang-bintang di langit Tuhan


Pada penghujung bual bicara itu, moderator ada menyelitkan satu kata-kata yang amat bernilai
"sesungguhnya, alim ulama' itu ibarat bintang-bintang di langit".

Benar, kepada merekalah rujukan kita tentang agama. Namun, banyak yang dientengkan akibat kepartian.

Allah berfirman di dalam surah an-Nahl, 16: "dan Dia ciptakan tanda-tanda. dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk."

wallahu'alam...




Jumaat, November 11, 2011

11.11.11


Dan tarikh keramat itu berlalu begitu sahaja ~~~

Khamis, November 10, 2011

Tolonglah...

Wahai manusia, tolonglah...
fahamilah kata-kata Tuhanmu yang menciptakan
melalui alam, nikmat, bala, ujian dan segalanya.

Sesungguhnya ujian yang menimpa setimpal dengan nikmat yang dikurnia
Masihkah engkau enggan bersyukur?

Sesungguhnya kita di pandangan Tuhan ibarat haiwan yang melata
sedikitpun tidak mendatangkan manfaat mahupun mudarat
melainkan Tuhan sahaja yang berkuasa

Rasulullah itu telah wafat.
Baginda telah tinggalkan kepada kita Quran dan Sunnah
malah, para sahabat, pengikut para sahabat dan pengikut kepada pengikut para sahabat sehinggalah ke akhir zaman turut menjunjung tinggi Kalamullah
masihkah engkau ragu?

Ternyata engkau lebih teruk daripada haiwan yang melata
hanya tahu meminta hak dipenuhi tanpa peduli Hak Tuhan yang engkau pandang sepi.

(emosi penulis kepada manusia bodoh yang mahu nafsu dipenuhi ~ Seksualiti merdeka? ohh~~)

Jumaat, November 04, 2011

Persepsi


Kalau cakap pasal hari raya Aidiladha/Haji/Qurban, ramai orang (orang pantai timur jugak) akan kata sambutannya lebih meriah di negeri-negeri di pantai timur. Pada aku, sambutannya sama saja di mana-mana negeri di Malaysia ni, terpulang kepada bagaimana kita meraikannya.

Aku pernah meraikannya di utara, timur, barat dan selatan Malaysia. Cuma belum pernah meraikannya di pulau Borneo. Yang menyebabkan sambutan hari raya itu lebih meriah adalah kerana kehadiran lembu-lembu, kambing-kambing, kerbau-kerbau mahupun unta-unta! Yela...kata raya qurban. Makanya, haiwan ternak itu wajib ada!

Dan hari keraian terbesar umat Islam ini sememangnya lebih bermakna kepada mereka yang menunaikan fardhu haji.

"Oh tuhan, sampaikanlah aku ke Rumah-Mu untuk aku menyempurnakan rukun Islamku. Ameennnn....."

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1432H

Rabu, Oktober 26, 2011

Ucap Selamat


Aku mulai belajar membaiki kesilapan. Ia nampak kecil. Tapi hakikatnya amat besar.
Dan mulai saat ini akan aku ucapkan:

"Selamat BERCUTI di musim perayaan."

Memadai.

(sebenarnya aku tak suka gambar di atas. melampau!)

Selasa, Oktober 25, 2011

Pain Point!

"Apa pain point kepada Steve Jobs untuk menghasilkan iphone?" tanya Dr. Dominic Liu.

Screen kecik!
Fungsi sikit!
Zaman teknologi!

Itu adalah antara jawapan daripada hadirin yang mendengar.

"Apa pain point kepada pengasas Nirvana Memorial Park?" soalnya lagi.

Keselesaan...

Hanya beberapa orang sahaja yang menjawab persoalan itu.

Aku yang awalnya turut menjawab beberapa soalan yang diajukan mulai membebel dengan kawan sebelah setelah diajukan soalan tersebut.

Dia hanya nampak pain point dunia tapi belum jumpa 'pain point' sebenar! Kesian. Aku memulangkan paku buah keras.

Jumaat, Oktober 21, 2011

DOSA YANG TERBIASA

Ya...semua manusia membuat khilaf.

Berbual dengan rakan serumah tentang dosa. Lantas aku teringat soalan yang pernah diajukan padaku.

"Apa hukumnya kita langgar lampu isyarat?"

Lancar je mulut aku cakap berdosa!

Dan itu jugalah jawapan hasil daripada perbincangan aku dengan rakan serumah yang merangkap seorang ustazah di sekolah menengah.

Dosa kecil kalau diamalkan akan jadi dosa besar kan?

Pun begitu; tangan, kaki, mulut, mata dan telinga jugalah yang paling hampir denganku. Insyaallah....

Wallahu'alam.

Rabu, Oktober 19, 2011

Cerita Sayang

ring..ring...

Boleh dikatakan setiap hari lebih daripada 5 panggilan masuk daripada 'hubby'. Itu tak termasuk sms dan kalau outstation. Aku yang selamba, bertanya:

"ish...ish....setiap masa call, tak rasa terganggu ke?"
"kadang time keje, time masak, time makan, time uruskan anak, kat bilik air...."

Dia jawab:

"Time dulu rasa terganggu jugak tapi bila fikir-fikir balik, lagi elok dia telefon kakak selalu daripada dia telefon orang lain!"

Selasa, Oktober 18, 2011

Cerita Jujur


'Bermain' dengan duit setiap hari sudah menjadi rutin pekerjaanku sekarang. Setiap hari, puluhan ribu cash malahan ratusan ribu jika dicampur dengan cek, memang menguji keimanan andai rapuh dan termakan bisikan nafsu dan syaitan.

"Ya Allah, hanya padaMu aku berserah. Semoga dengan pekerjaan ini keimananku bertambah."

Isnin, Oktober 17, 2011

Tamu Hujung Minggu (Cerita gasak)

Bagi suami-isteri-PJJ (perhubungan jarak jauh), hujung minggulah waktu dinanti-nanti untuk diluangkan bersama.  Bagi perantau macam aku, bukan setiap hujung minggu dapat aku luangkan. Maafkan aku ayahbonda :(

Hujung minggu yang baru berlalu ini, aku menerima kehadiran beberapa orang tetamu. Pertama, bekas jurulatih di PUSWATAN. Tanpa dirancang dengan teliti, kami bermain boling bersama. Best! Mereka memang terer main boling, makanya mereka mengajarku. Buat pertama kalinya, aku memperoleh point melebihi 100! Yeay!!!

Kedua, abang ipar. Memang dia selalu bertugas di sini tapi kali ini untuk satu kejohanan antarabangsa yang menyebabkan aku kepingin hadir. Walaupun bukan sukan badminton mahupun hoki atau bola tampar, aku minat juga menonton orang bergasak! hihi.... 7th World Junior & Cadet Karate Championship. Malaysia tidak berjaya melayakan diri ke kelompok akhir.


Hujung minggu yang pendek menyebabkan aku menghargai setiap detik yang ada. Samosa dan laksa penang menjadi hidangan untuk tamu-tamu hujung mingguku.

Jumaat, Oktober 14, 2011

Cucu mak


"Macamana mak? Boleh ke jaga dua-dua?" soalku.

"Alhamdulillah...boleh...Alif je la, nakal sikit.. 'aqilah ok jer..." kata mak.

"Kalau tak boleh takpe mak. Kakak tak kesah nak hantar kat nursery tapi mak je yang tak bagi." pujukku.

Aku sendiri tak setuju mak mahu menjaga cucu. Takut mak penat sangat. Begitu juga dengan kakak. Tapi dia tetap mahu menjaganya. Lagi bimbang kalau orang lain yang jaga katanya.

Apapun, mak cukup bahagia sekarang ini dengan kehadiran sepasang cucu.

Rabu, Oktober 12, 2011

Permata Hati

Pemimpin (perempuan) yang bijak.
Itulah nama srikandi yang baru lahir dalam keluarga kami.

"Ish...ish...awak ni. Kalau ada anak sendiri nanti macamana la yer?"

Aku hanya tersenyum apabila diajukan soalan itu. Hanya mampu berdoa, semoga aku istiqomah dalam setiap amal yang aku perbuat.

Di usia mudaku dulu, aku sudah mempunyai ramai anak saudara dan cucu saudara! Perasaan ini amat berbeza apabila mempunyai anak saudara yang lahir tatkala aku menginjak dewasa.

Ini semua untuk mereka dua beradik. Hadiah daripada mak usu untuk kesekian kalinya. Tapi bukan yang 'teddy bear' itu. Itu mak usu punya, hadiah daripada kenalan semasa berkursus yang lalu.

Mak usu sayang amat pada kalian. Apabila berjauhan ini, sebaknya terasa...

Selasa, Oktober 11, 2011

Rukun Hidup

1. Makan
2. Minum
3. Tidur
4. Rehat
5. Kahwin

Sedaya upaya semua manusia akan berusaha untuk melengkapkan keseluruhan rukun kehidupan.  Tetapi tidak semua manusia bersungguh-sungguh memenuhi tuntutan rukun Islam dan rukun iman.

wallahu'alam...

Ahad, Oktober 09, 2011

UGUT!

Especially for me? Huh...nonsense!

Saban tahun. Usai pembentangan belanjawan, majoriti akan meluahkan kata-kata manis itu dan ini.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin."

"Saya rasa bersyukur kerana dapat bonus daripada kerajaan."

"Ini adalah sejarah sejak 33 tahun pemerintahan."

"Ini pembentangan bajet yang paling bijak."

"Ini menunjukkan kerajaan prihatin dengan nasib rakyat."

"Bajet rakyat!"

Bukankah memang tanggungjawab sesebuah kerajaan membela rakyatnya? Sejak aku mengenali dunia politik dan segala perkara yang berlaku di dunia terutamanya Malaysia, aku tak pernah merasai apa-apa keistimewaan yang kerajaan bagi untukku (juga untuk mereka yang selayaknya). Hatta sekarang, sejak berkecimpung dalam suasana swasta, aku lebih mengenali mereka-mereka yang berhati busuk!

That's all?? Aku juga penyumbang kepada pembangunan negara! Mengekalkan defisit adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan! Ketirisan masih berlaku di sini.

Kalau begitu, aku mahu bermalas-malasanlah. Tengoklah nanti, kalau berlaku sesuatu kepada barangan kawalan, carilah aku! Hahaha....

Jumaat, Oktober 07, 2011

Mainan Kata

Sepak - tendang.
Sepak - tampar.

Sepah - hampas.
Sepah - berterabur.

Tapi, orang Johor suke pegang dari pegang dan amek dari ambil. hihi...

Entri ini sebenarnya nak memperkatakan tentang satu grup lawak ni.
Dulu....Sepah
Sekarang................Sepahtu
(diorang ni memang gile kreatif cari nama. Dari sepah ke sepahtu. Bunyi macam sepatu pun yerk jugak.)
Ish...ish...apepun aku suka lawak diorang!

Khamis, Oktober 06, 2011

Pra-B

Lewat ini, mana-mana siaran tv akan membahaskan isu belanjawan yang akan dibentangkan esok. Nampak macam smooth jer kan?

Apa-apa perbincangan pun kelihatan masih ada pro- dan kontra- nya.

hmm...kita tunggu jer lah esok!

so, tungguuu....


Isnin, Oktober 03, 2011

Ramuan

Anda diberikan:

Air
Tepung gandum
Marjerin
Minyak
Rempah kari
Lada 'blend'
Kentang

Apa yang anda boleh buat?

Roti canai
Roti jala
Kuih cara
Karipap a.k.a epok-epok

*teringat aku kepada satu pengenalan kursus ESQ di bandar baru uda sedikit masa lalu. ah...kursus tentang diri kita. Itulah kehidupan dengan kiasannya...
.
.
.
.


Menonton 'karipap-karipap cinta' menyebabkan aku merindui epok-epok buatan mak. Oleh kerana berjauhan. Nampaknya, kene jugaklah usahakan walaupun sendirian untuk menangani rasa keinginan! huhu...
Ini hasil tangan hujung minggu lalu. Ada terima daripada saya? Nampaknya, anda bukan jiran saya! hahaha...

Jumaat, September 30, 2011

ILMU ku ILMU mu

Ilmu,
Mencarinya adalah ibadah
Mengkajinya adalah tasbih
Menganalisisnya adalah jihad
Mengajarkannya adalah sodaqah
Membiayai orang mencarinya adalah qurban
Pendamping tatkala sendirian
Merupakan dalil atas agama
Sebagai bukti dalam kebaikan
Menjadi kesempurnaan dalam beribadah
dan...

Allah mengangkat sesuatu kaum kerana ilmu.
............................................
Perkongsian untuk hari ini, juga untuk diri ini yang pernah kecewa kerananya. (bukan kecewa kerana ilmu tetapi pernah tersungkur tatkala mencarinya)
Bertabahlah duhai hati.

Jazakallah...


Khamis, September 29, 2011

Hari-hari yang kulalui

Hmmm.....berahsia, perahsia. Itu ungkapan untuk menzahirkan aku ketika ini. Dalam pada ramai kenalan berteka, aku masih lagi mahu berteka-teki. Seronok juga sekali-sekala begini! hahaha...aku tak pasti sampai bila mahu berahsia.

Pun begitu, lewat ini, sendu sahaja aku mengadu pada Tuhan agar dilanjutkan usiaku dan diberikan kesempatan untukku berbakti kepada ayahbonda, saudara, nusa dan agama.




Khamis, September 22, 2011

Adrenalin

Hmm...dah lama rasanya adrenalin aku ni tak mengalir. Ini bermakna telah lama aku tidak berada dalam situasi cemas, bahaya ataupun cergas.

Semalam, menyaksikan perlawanan bola sepak kelayakan Olimpik pun masih gagal mewujudkan rasa cemas itu! Walaupun hampa akibat kekalahan Malaysia kepada jaguh Asia (Jepun), aku masih optimis kebangkitan pasukan pada perlawanan berikutnya (Bahrain dan Syria).

Nampaknya, aku perlu keluar bersenam! Oh adrenalin....

Ahad, September 18, 2011

DERMAL KOREA FACIAL MASK

A: Arbutin Collagen Essence Mask
(for brightening, moisturizing, refining)

Arbutin with casein amino acids suppress the formation of enzymes that can enhance skin whitening at night repair work, often allow the skin to maintain the use of bright white, with collagen to make skin more easily absorb the increase in skin firmness and elasticity.

B: Apricot Collagen Essence Mask
(for moisturizing, firming and brightening)

C: Acerola Collagen Essence Mask
(for regeneration, moisturizing and nutrition)

No.1: A pack of 10pcs contains A (5pcs), B (3pcs) and C (2pcs)
OR
No.2: A pack of 10pcs contains A (5pcs), B (2pcs) and C (3pcs)

at ONLY RM35 (including postage). NORMAL PRICE (RM6/pc)

Berminat? Tempah dengan meletakkan komen di ruangan "tahi bintang".
Cuma ada 4 pek sahaja. Siapa cepat dia dapat!
(hehe...baru berjinak-jinak nak buat bisnes nie...)

Let the pic do the talking

Johan kalau bab menyalami orang ;)

Tercengang tengok ummi dia nangis salam atok ;(


napelah tue...


"nnniie..." (letak sini)








Completed!


Cepat betol atok salin baju!


Khamis, September 15, 2011

Berita Sensasi

PM membubarkan ISA dan Ordinan Darurat dalam perutusan beliau sempena Hari Malaysia sebentar tadi!

Ibarat sebilah pisau. Digunakan pada kebaikan, akan memberi manfaat. Begitulah juga sebaliknya...

TAK RELEVAN? versi aku

Macam nilah...sebagai seorang penyiasat, kadang-kala, dia perlu menyamar untuk mendapatkan maklumat. Begitulah yang selalu dihidangkan kepada kita melalui slot "Gerak Khas" dan drama yang seumpamanya.

Andai kata, si penyiasat terbunuh di dalam penyamaran tersebut. Sudah menjadi kewajipan bagi ketua penyiasat memaklumkan bahawa dia terbunuh di dalam tugas. Tetapi, cuba kita andaikan yang si ketua ni tidak memaklumkan kepada umum, tidakkah si mati tadi akan dianggap pembelot oleh mereka yang tidak mengetahui hal sebenar?

Sejarah tetap sejarah. Ia takkan berulang bahkan menjadi pengajaran yang amat berguna!

wallahu'alam...

Rabu, September 14, 2011

Berita Terkini!!

Aku mendengar radio sinar dan mereka menyiarkan bahawa kerajaan akan menetapkan kadar cukai kepada perkhidmatan dan barangan selepas pilihan raya!

Hah??!!!!!

What say you?

Haiyya....ini macam ha...mana mau tahan maa...

(inilah nasibnya kalau ekonomi kapitalis diamalkan!)

TAK RELEVAN?

Entahlah...sejak mantan PM Tun Mahadhir menyatakan subjek sejarah banyak kekurangan dan perlu dirombak, aku sentiasa berfikir, "kenapa sekarang?, apa yang salah? fakta dulu dengan fakta sekarang tak samakah?"

hmm...kelakar ada, kesian pun ada. Yang kelakar tu, pada tanggapan aku, ini semua adalah untuk kepentingan politik. Yang kesian pulak, bukankah semua penulis buku teks adalah para cendikia? Mestilah mereka sangat arif dengan fakta-fakta. Iya, mereka juga manusia yang sering melakukan kesilapan. Tapi, takkanlah semudah itu mahu membubarkan buku teks yang telah lama menjadi sumber rujukan...

Walaupun ramai yang mengutuk 'orang itu'. Namun, kita harus berterima kasih kepada 'orang itu' yang telah mencetuskan kontrovesi lantas mantan kita mahu merombak kandungan sejarah!

wallahu'alam...

Rabu, September 07, 2011

Review Ops Sikap

Dah kali ke-24 dah Ops Sikap ni dilancarkan. Namun statistik tak pernah berubah. Kematian demi kematian. Aku memang bukanlah bernas sangat nak bagi pendapat atau idea. Tapi natijahnya, kalau bukan waktu perayaan pun, memang kemalangan dan kematian berlaku saban hari. Cuba kalian buat statistik seminggu di hari bukan perayaan. Nescaya, kemalangan dan kematian tetap ada!

Adalah suatu kelaziman di zaman kenderaan meningkat, menjalar di jalan raya akan berlaku kemalangan. Hatta bukan sahaja di Malaysia.

Kalau nak buat 'brand-new' pun aku tak yakin yang kadar kematian itu tak akan berlaku sebab fitrah manusia, setiap yang lahir ada yang mati.

hmmm...agak-agaklah, tahun depan jadi ops ape ek? Ops Pusara kot?

Kepada cedikiawan, moh kite sama-sama fikirkan jalan penyelesaiannya!

Selasa, September 06, 2011

Hibanya Syawwal

Tahun ini, sayunya meninggalkan Ramadhan. Kemeriahan menyambut lebaran tidaklah terasa. Boleh dibilang berapa buah lagu raya menjadi santapan halwa telinga ini..lantaran hati ini begitu sayu dan terlalu rapuh untuk menahan linangan air mata kerana terlalu banyak ujian yang Allah datangkan ke atas diriku.

Lantas, Syawwal yang dilalui juga turut terkena tempiasnya. Cuma, Allah ada mengurniakan sedikit kegembiraan tatkala kelahiran anak saudaraku, Ameerah 'Aqilah. (huhu...lupa nak amek gambo dia...cumel sgt!)

Syukran Ya Kareem....

Sabtu, Ogos 27, 2011

Merdeka Syawwal

“Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [al-Syams 91: 7-10]

“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis sahih An-Nasa’i)

Memerdekakan hati dan jiwa akan membawa kepada kemerdekaan agama, bangsa dan negara.

Tarbiyah ramadhan merdeka syawwal. Wallahu'alam....

Jumaat, Ogos 26, 2011

Hikmah Ramadhan 2

"Ya Allah, berilah kepadaku kekuatan-MU.
Aku tidak pasti, adakah tepat keputusan yang aku pilih ini.
Kurniakanlah kepadaku hikmah di atas keputusan ini."

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya...
Selincah, seceria dan ketabahan yang dilihat di luaran,
adalah tidak seperti yang terpendam jauh di sudut hati insan bernama...
Fadilah Binti Mis.


Khamis, Ogos 25, 2011

Hikmah Ramadhan 1

Minggu pertama ramadhan lalu, 'Cik Biru' mengalami kecederaan kecil. Maafkan 'Cik Tumpang' yer...cik tumpang tak sengaja. Tersilap menganggar jarak, aku telah melanggar dinding zink parkir.

Aku yang pantang melihat cik biru sakit, mahu segera membawanya berjumpa doktor kereta. Cuaca yang sering tidak menentu menyebabkan aku menundakannya selama 2 minggu. Hari jumaat lalu, aku survey kedai, aku singgah. Yang pertama, orangnya sedang lena kepenatan. Usai salam ketiga tanpa disahut, aku terus beredar. Dan keesokannya, aku terusan saja membawa cik biru ke kedai kedua. Diplomasi pertama RM105 turun ke RM100. Diplomasi kedua, gagal. Aku pasrah.

Lewat jam 1630, cik biru datang menjemputku. Kuhulurkan dua keping not RM50. En. Rafi pulangkan RM10. "Kenapa?" soalku. "Polish tu dah termasuk harga cucinya kak." "Oh...begitu. Alhamdulillah.." "Tapi, kalau kakak datang minggu depan, kami tak terima sebab mahu tumpu cuci saja, kalau polish kami tak boleh ambil kereta lain," tambah En. Rafi. Dan khabarnya, di kedai yang pertama harganya jauh lebih mahal (RM160++).


Cuci luar dalam + cuci enjin + polished luar dalam by machine = RM90. Alhamdulillah...syukur ya Allah. Sekarang, cik biru sihat seperti selalu bahkan lebih berseri lagi;)

Rabu, Ogos 24, 2011

Aku Rinduuu....

Tahun-tahun di UTM, di sinilah aku bertadarus sepanjang Ramadhan. Tapi tahun ini, hanya mengaji sendirian. Sedihnya...

Ini ole-ole tadarus tahun lepas 2010. Kenangan abadi tetap di hati.

Ust. Zawawi. Hmm...sekarang dah 'datuk' dah. Tahniah!

Aku rindu pada majlis-majlis ilmu yang begitu banyak dihidangkan. Alhamdulillah...Allah beri kesempatan untuk aku jadi tetamu 'taman syurga'. Namun, lewat ini, hanya dapat didengar di corong radio saja. huhu....

Iftar UTM. Arghh....rindunya.

Alhamdulillah...walaupun bukan dengan kawan-kawan. Aku masih lagi mengamalkan tradisi makan dalam dulang dengan keluarga dan orang kampung. Nikmatnya!

Inilah orang Kg. Baru Kuala Lumpur yang bertandang ke UTM tahun lepas. Padaku, bubur lambuk mereka biasa jer...bubur lambuk Taman Sri Pulai Perdana (bekas rumah sewa) adalah terbaik yang pernah aku jumpa.

Yang pentingnya.....
Aku rindu pada semua itu....

Selasa, Ogos 23, 2011

23Ramadhan ketemu laie...

Aku yakin engkau amat damai di sana
Berbanding dengan hidupmu di dunia
Dirimu suci bersih tanpa sebarang noda
Hatta tidak dihisap pun walau satu zarah

Dirimu dimuliakan Allah
Dikembalikan kepada-NYA pada saat yang cukup tenang
Pemergianmu amat dicemburui oleh mereka yang mengenalimu
Malam Jumaat 23 Ramadhan 1431H
Tarikh keramat engkau menemui Ilahi

Setahun telah berlalu
Namun, ketiadaanmu masih terasa

Kakak, andai ditakdirkan diri ini tercampak ke jurang neraka
Sudikanlah untuk membawaku ke pintu syurga..

Al-fatihah...

Isnin, Ogos 22, 2011

Alamak! Sama lah...


Erkk??? Bukan aku...
Aku yakin mesti ramai yang tengah search perkataan kompas ketika ini.
Kalaulah kat blog aku ade buat live traffic....:(

Cuma....
Aku musykil...kalau tidak sahih, masakan bisa diketahui sampai ke luar negara? Sedangkan di Malaysia pun dah riuh didendang.

Khamis, Ogos 18, 2011

Butter Tong

Kes 1: Sejujurnya, aku pernah menggunakan butter ini untuk membuat kek lapis. Suatu ketika dulu. Tapi itulah kali pertama dan terakhir sebab kek tak berapa nak jadi. hehe....kek terlalu lembik mungkin sebabnya tak sabar nak letakkan lapisan demi lapisan tanpa menunggu lapisan di loyang betul2 kering. Alhamdulillah, mungkin ada hikmahnya kek aku tak berapa jadi.

Kes 2: Mak sedara aku seorang yang sangat pandai membuat kek. Dialah yang mengajarku membuat kek lapis dan kek buah. Dia kata sedap pakai 'butter tong'. Dan 'butter tong' itulah yang telah dia gunakan sejak dulu lagi sampai ke hari ini. Masyaallah...rupa-rupa tahun ini barulah diketahui status 'butter tong' itu tidak halal.

Perkaitan Kes 1: Suatu ketika dulu, aku seorang yang keras hati. Sukar menerima teguran orang dan cepat melenting. Suka melewatkan solat (biasanya waktu maghrib sebab ada cerita korea) dan kadang-kadang pernah bermasam muka dengan mak berkenaan hal yang remeh-temeh.

Perkaitan Kes 2: Sepupu-sepupu aku badannya 'sihat-sihat'. Otak tak berapa nak 'catch-up' pelajaran. Sering tinggal solat dan selalu melawan cakap mak sedara aku.

Persoalan: Adakah ini natijahnya memakan sumber yang tidak halal? Ampunilah aku ya Allah...

Ramadhan ini

Ingin aku kongsikan kepada semua. Alhamdulillah...setakat ini berat dah turun sebanyak 3kg. Macam sikit kan? Lebih kurang sekilo seminggu. Tapi takpe sebab merujuk kepada diet Atkin's, fokus adalah kepada saiz bukan berat. Jadi, perubahan saiz dapat jugak aku rasakan. Biar perlahan, kalau drastik nanti takut sakit pulak. Aritu je dah pening yang amat, tak pernah aku alami pening sebegitu.

Kedua, setakat 17 ramadhan semalam, aku belum sekalipun menjejakkan kaki ke bazaar ramadhan. Selain boleh berjimat dan mengawal nafsu, aku juga dapat mengurangkan kadar kesesakan dan kemalangan yang sering berlaku.

Ramadhan kali ini sayu seperti tahun sudah (2010). Sukar nak digambarkan. Dan ramadhan ini, aku selalu bermohon kepada Allah berkenaan dengan rezeki.

"Ya Allah, jika Engkau mentakdirkan rezekiku ada di langit-Mu, Engkau turunkanlah..
Jika rezekiku ada di dalam bumi-Mu, Engkau keluarkanlah...
Jika jauh dariku, Engkau dekatkanlah...
Dan jika haram, Engkau halalkan dan sucikanlah. Aminn..."

Semoga amalan yang tak seberapa ini berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Selasa, Ogos 16, 2011

Lagu raya

Hari ini, Ramadhan ke-16. Memandu kenderaan pagi tadi terasa sayu tatkala radio mula memainkan lagu-lagu perayaan.

Senang betul airmata ini mengalir... isk..isk...

Kalau aku 'orang besar', mahu saja aku keluarkan notis supaya hanya 1 minggu atau 3 hari sebelum perayaan baru boleh mainkan lagu-lagu sebegitu. Kejamkah?

Isnin, Ogos 15, 2011

Impian Aku

Dah lama kupendam. Namun, pernah sesekali diungkapkan dengan kawan-kawan. Tidak pernah kuceritakan kepada umum. Tapi, hari ini, di awal pagi ini, kukhabarkan kepada semua. Aku ingin ramai anak!!

Anak pertama: Seorang ustaz.
Anak kedua: Seorang ustazah.
Anak ketiga: Pemain badminton no.1 dunia.
Anak keempat: Usahawan.
Anak kelima: Seorang doktor perubatan.

Insyaallah...semoga impianku ini terlaksana. Amin...

Ahad, Ogos 14, 2011

Jihad Ramadhan

Dah lama rasanya aku tak memperkatakan tentang badminton. Rinduuu..... Dekat 'orang itu' juga...hihihi ;)

Ramadhan ini, ada 2 agenda penting. Kejohanan Badminton Dunia di London dan juga Sukan Universiti Sedunia di China. Kalau nak diikutkan dengan jihad di zaman ini, tidaklah serupa dengan Zaman Rasulullah dan para sahabat. Namun, bagi muslim anggaplah ia sebagai suatu jihad supaya kalian dapat merasai keperitan dan kepayahan berperang di zaman kegemilangan Islam.

Aku yang begitu teruja dengan sukan badminton amat mengharapkan 'kekasihku' Lee Chong Wei dapat mencapai cita-citanya menggenggam kejuaraan di kejohanan dunia buat pertama kalinya. Amin...(aku selalu berdoa nama-nama besar seperti chongwei memeluk Islam kerana besar pengaruhnya kelak. amin...)

Jumaat, Ogos 12, 2011

Tarbiyah Ramadhan Yang Gagal

Min, aku pinjam kata-kata kau.

"Ish...apelah kete depan ni! Lambat macam kura-kura! Orang nak cepat nih, boleh pulak dia bawak kete macam nak pegi makan angin. @#%*^$@#!!!!"

Kalau itu pernah terjadi pada anda. Nampaknya, anda belum cukup penyabar.

Wallahu'alam...

Khamis, Ogos 11, 2011

Tarbiyah Ramadhan

.
.
.
...

Kalau tak boleh buat semua, Jangan tinggal semua!

.
..(Quote for today)

Rabu, Ogos 10, 2011

Diet & Exercise Ramadhan 2

"Eh, boleh kurus ke asyik makan ayam jer?"


Begini, aku mengambil pendekatan diet ini adalah bertujuan untuk menukar sumber tenaga yang digunakan selama aku hidup ni, daripada karborhidrat kepada lemak. Makanya, untuk itu, aku memerlukan sekurang-kurangnya 2 minggu fasa induksi bagi pertukaran proses yang dinamakan ketosis ini. Induction phase ini bergantung kepada saiz badan kita, lagi banyak lemak yang terkumpul dalam badan, lagi lama induction phase ini diperlukan!



Kalau kita tidak biasakan tenaga diperoleh daripada lemak, sampai bila lemak itu akan terkumpul kat situ? Bahkan kalau kita mengambil karborhidrat berlebihan, ia juga akan ditukarkan kepada lemak dan disimpan di dalam badan. Bertambah lagi lemak kita...



Hello!! Kita bukannya beruang kutub yang sangat comel dalam keadaan gemuk. Lagipun, Allah menciptakan beruang untuk hidup dengan memerlukan lemak yang banyak.



Comel ke kalau beruang kutub kurus?



Nampak hensem ke kalau badan kita seperti ini?



Ololo...tomeyy nyerr...Syyyhh!!!! Dia sedang tidur...

Isnin, Ogos 08, 2011

Diet & Exercise Ramadhan

Diet:

Alhamdulillah...setakat ini, aku telah berjaya mengawal nafsu makan selama 7 hari berpuasa.
Untuk rekod aku selama ini, setiap kali ramadhan, berat badan memang akan bertambah. Bukan kerana makan lebih daripada biasa, tetapi makan tidak mengikut diet pemakanan. Tetapi yang peliknya, Syawal akan menurunkan kembali berat ke kadar biasa. Hmm....

Makanya, untuk ramadhan kali ini, aku berazam untuk berdiet. Nak pecah rekod kenaikan berat badan ramadhan-ramadhan sebelum ini. So, aku menggunakan metod diet protein (Diet Atkin's). Berikut adalah menu sepanjang 7 hari berpuasa ni.

Sahur - Telur hancur (macam nak buat sandwich) atau daging burger. (limit 2 hidangan). Dan air kosong (at least 3 gelas).
Berbuka - Sup sayur+ayam atau tomyam sayur+ayam (sayur-sayur hijau dan ayam tanpa makanan laut) atau ikan/ayam goreng. Dan air kosong (at least 4 gelas).

Benda yang tak boleh ambil - Nasi, gula (air manis), semua jenis kuah selain jenis bersup, tepung (semua jenis kuih), semua jenis mee dan buah-buahan.

Exercise: Alhamdulillah Tarawikh 20 rakaat + solat-solat sunat yang lain (bukan menunjuk tau, just nak share..yela, nak work-out takut dehydrate!). Solat kan exercise gak kan?

Alhamdulillah...kesan setakat ini, badan terasa ringan nak beribadat dan aku sendiri dapat merasakan kesihatan yang bertambah baik.

So, for you guys who read my blog, I just want to share. Kalau boleh nak ikut, ikutlah..kalau nak tanya, dipersilakan...

Sabtu, Ogos 06, 2011

Bulan Sedeqah?

Alhamdulillah...kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi kerana dengan adanya bulan ini, insan-insan yang serba kekurangan mampu untuk tersenyum dan merasai nikmat rezeki dan rahmat di bumi tuhan.

Namun, apa yang dikesalkan. Mengapa hanya di bulan ini begitu banyak rezeki yang diagihkan dan dikongsikan? Mengapa tidak di bulan-bulan yang lain? Apakah ia hanya suatu trend yang perlu dipertontonkan? Na'uzubillah....

Sememangnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada yang menerima. Tetapi janganlah sampai tangan kiri mengetahuinya. Biarlah kita menjadi insan seperti di bulan-bulan lain yang diam membisu tatkala bantuan dihulurkan.

Wallahu'alam...sesungguhnya Dia lebih mengetahui apa yang tersirat di lubuk sanubari kita.

Khamis, Ogos 04, 2011

Bulan Rahmat?

"Apa macam apek? Ini bulan income ok tak?"

"Haiya...wa manyak suka ini bulan woo. Manyak luit masuk."

"Yakah apek? Wah...manyak untung la lu ha..."

...........................................................
Raya dia; dia untung.
Puasa kita, Raya kita pun dia untung.

Sesungguhnya, benarlah kata-kata Allah. Sifat Ar-Rahman tuhan tiada terbatas. Seluruh makhluk di muka bumi ini mendapat manfaat.

Syukur Alhamdullillah...

Sabtu, Julai 30, 2011

Sinonim

Ramadhan =
Kurma
Bazaar Ramadhan
Gastrik
Jualan Hari Raya
Solat Tarawikh
Tadarus Al-Quran

Marhaban Ya Ramadhan...

Jumaat, Julai 29, 2011

Analogi


Ibarat harimau yang cedera
Perjalanan kehidupan perlu diteruskan
Kederasan rusa, persaingan, perebutan
Perjuangan dalam pencarian tetap digagahi
Namun, hampa...
Kesakitan tak terbendung
Sisa bangkai haiwan lain
Itulah rezeki untuknya
Pabila sembuh luka itu
Tunggulah...harimau akan mengaum lagi!

Khamis, Julai 28, 2011

Seperti lalang

Baik atau tidak, terpulang kepada kita bagaimana mengkiaskannya.

Seperti ini:

1. Penyokong bola sepak negara tidak menyokong negaranya sendiri apabila pasukan terkenal eropah berkunjung ke Malaysia. (kerana angin meliuk lalang...)

2. Pemain bola sepak negara mempamerkan aksi mantap dalam perlawanan di gelanggang lawan di hadapan ribuan penyokongnya. (asal ada tanah, pasti tumbuh lalang...)

3. Kalau tiada tekanan, kita pasti boleh bermain dengan lebih tenang. (kalau tiada angin, lalang rumpun meninggi...)

Berjuanglah...ku doakan Malaysia menyinar!

Rabu, Julai 27, 2011

Cerita bangga...

Aku bangga.

Dulu...

jarang-jarang aku lihat rakyat Malaysia menyarung jersey kebangsaan negara.

Sekarang...

selalu aku terserempak dengan rakyat Malaysia memakai jersey itu.

Aku bangga!

(hmmm...boleh buat bisnes nih!)

Rabu, Julai 20, 2011

Tetamu

Dalam keghairahan kita menerima dan memberi reaksi yang begitu berlebihan kepada pemain-pemain dan pasukan bola Eropah, ternyata kita tidak memberikan reaksi yang serupa kepada tetamu yang bertandang untuk pertandingan musabaqah Al-Quran.

Wallahu'alam...

Sabtu, Julai 16, 2011

Makbul


Selesai sudah menyaksikan drama bersiri terbitan RTM pada hari Khamis yang lalu.

Ia bermula apabila aku secara tak sengaja menukar siaran pada april yang lalu ke siaran tv2. Lantas, terus setia di situ hingga ke akhirnya dan ternanti-nanti minggu berikutnya. Ia bukanlah sebuah filem thriller yang menjadikan kita tidak sabar menantikan babak seterusnya. Mahupun bukan sebuah filem cinta yang sering menghiasi media ataupun cerita yang berkisar tentang dendam khianat dan kemewahan dunia semata.

Mungkin aku sudah terlewat mempromosikan cerita ini tetapi bagiku kalian masih lagi boleh menontonnya online mahupun download lagu tema yang cukup mendamaikan.

Ia sebuah cerita tentang doa; yang merupakan amalan seharian kita. Tiada dendam, dengki khianat, kekecewaan, cinta yang melampau...Banyak perkara yang mengingatkan dan menyedarkan aku tentang erti sebuah doa.

Wahai pembikin filem, alam ini luas. Terokailah sedalamnya untuk penghasilan karya yang unik yang dapat meresap terus ke lubuk sanubari insani..

Cinta Ilahi adalah hakiki...

Khamis, April 21, 2011

"Cerita atas meja"



Atas meja:

1. Laptop jenama Compaq Presario v3000
2. Kalkulator saintifik
3. Buku rujukanku (kalkulus & tumbuhan) – untuk keje sekolah la nie…
4. Buku log keje (aku suke sebut buku skolah. Huhu..)
5. Journals & serpihan tesis yang telah ditanda supervisor (huaaaa~~)
6. DVD (cite korea & jepun yg aku donlod)
7. Cekak rambut (tp aku panggil sekap rambut. Hahaha…)
8. Sekotak tisu jenama Scott
9. Jam milo (Jam free beli milo fuze yg berusia 4 tahun peninggalan kawan baik yg menunjukkan jam 12.30 tgh malam)
10. Plastik pembalut coklat cadbury (kat bawah kotak tisu, pemberian seseorang..hehe..)
11. Organizer berupa kalendar (ada kata-kata semangat. Best!) – FOC dari supplier.
12. Alat tulis (puncher, stapler, marker pen, pen, pencil, pembaris, klip kertas)
13. Kad jemputan perkahwinan (dah lepas dah...)
14. Topup kad kaler pink (celcom rm 10 x 3 keping)
15. Name card nasi beriyani taman u (kat bawah puncher. rasa dia ok laa....)
16. Kain pengelap skrin laptop
17. 2 biji henfon (sony ericsson w200i – aku hadiahkn kakak aku dulu, skrg husband dia belikan dia henfon baru, yg nie dia bagi balik kat aku.Huhu... & nokia 6020 – my first henfon)
18. Jam tangan casio (pemberian seseorang kerna jd best student worth almost rm200.00..Hehe…i like!)
19. Charger kamera digital olympus-FE360
20. Kitab Hadis 40 (kitab time skolah agama darjah khas dulu…)
21. Bil utility (api takyah bayar, air 5 hengget jer…)
22. Pencil case FOC dutch lady shine yogurt drink
23. Kunci rumah & kereta “cik biru” aku yg tersayang…;)
24. Purse jenama polo Emilio (dah nak masuk 8 tahun pakai since 2003. still ok..hadiah dari kakak sbb dapat masuk UTM)
25. External hard disk 250GB (majority movie jer….)
26. Diary tahun 2010 (pemberian nestle, boleh pakai lg sbb byk kosong. Haha…)
27. Bonjrot (org jawa panggil) atau uncang gula-gula (kenduri kawennyer laa…)


Di kerusi:

1. Anak tudung kaler hitam (aku panggil serkup kepala. Haha…)
2. Dua helai tudung express (oren dan biru gelap – senang nak kuar cari makan or standby kalau orang datang rumah)
3. Tuala kecil belang pink putih (buat tutup kepala masuk tandas.huhu…)
4. Beg laptop maggi (abang ipar bagi. Hehe…)

Tu dia…punyerlah banyak. Berserabut macam orangnya. Haha...Ekceli, malam tadi aku kebosanan menghadap komputer dan tesis. Saje amek gamba mejaku yang berselerak tu. And then, come out with the “cerita atas meja”. Aku nak tag 3 org ni dgn tajuk yang sama tetapi mungkin cerita yang berlainan.

1. Cik fashya cantik

2. cik la dolce nina dan

3. tok rimau! Hehe…itu pun kalau diorg blog walking and sudi…;)

Selasa, April 19, 2011

Tsunami

Aku berjalan-jalan berseorangan dari daratan menyusuri jambatan kayu bakau buatan manusia. Ia nampak seperti rapuh namun apabila aku meniti di atasnya, sedikit pun tidak berasa takut dek hempasan air laut mengenainya. Aku berjalan lagi sehingga sampai di tanah yang tidak cukup untuk dipanggil pulau; aku fikir. Banyak gerai-gerai usang yang jualannya terdiri daripada buah-buahan, hasil-hasil tanaman, gerai makanan dan minuman dan ada juga terdapat gerai menjual pakaian seperti kain untuk dibuat baju mahupun t-shirt. Makcik-makcik dan pakcik-pakcik penjual begitu ramah sekali denganku. Tertarik dengan keramahan makcik tersebut aku pun membeli buah salak manis yang cuma berharga RM1.50 sekilo! Aku pinta 4 kilo; lumayan sekali aku kira untukku. Berjalan di atas gerai yang hanya berasaskan kayu bakau; aku terfikir "kukuhkah apabila badai melanda?" Namun jauh di sudut wajah penjual di situ, aku nampak ketenangan terpancar seakan-akan akur dan redha andai musibah melanda. Walaupun bermacam-macam persoalan bermain di fikiran, tidak tergamak untuk aku bertanyakan khuatir terguris naluri mereka. "Makcik, ini apa?" soalku. "Oh...ini keledek kentut," jawabnya. "Kenapa? Anak tak pernah lihat kah?" soal makcik itu lagi. "Ha'ah...tapi mak saya ada pesan, kalau jumpa keledek yang sebesar ibu jari, dia suruh saya beli. Mungkin inilah yang mak saya maksudkan," jawabku. "Ha'ah nak, sekarang ni memang payah nak jumpa keledek macam ni. Kat tanah besar pun takde. Kat sini je ada, nak," ramah makcik itu. "Err...sekilo berapa makcik?" "Dua ringgit je nak." "Hmm...kalau macam tu, bagi saya dua kilo je lah makcik," pintaku. Usai beramah mesra dengan makcik tadi, aku berjalan lagi. Namun, hati seakan tidak enak memaksa untuk aku segera beredar. Belum sempat aku beredar, aku terlihat ombak setinggi 10 kaki sedang menuju ke arah kami. Aku berlari dan lari tetapi aku tidak tahu ke mana harus aku tuju kerana tanah seberang terlalu jauh untuk aku sampai. Terlihat satu binaan seakan-akan konkrit yang kukuh, aku berlindung di sebaliknya. Aku sempat menarik seorang makcik cina untuk berlindung bersamaku. Aku pegang tangan dia sekuat-kuatnya. Aku menarik nafas dalam-dalam dan ombak itu menghempas kami. Kami tenggelam. "Ya Allah...malapetaka apakah ini. Selamatkanlah aku ya Allah..."bisik hatiku. Dan akhirnya ombak itu reda. Ibarat ombak menghempas pantai; hanya sedetik cuma. Dan makcik cina itu segera menarik tanganku untuk sampai ke seberang. "Cepat! Cepat! Aunty tau jalan sini." Aku pantas mengikutnya. Ringan tanganku. Habis semua belian disapu ombak tadi. Maafkan aku mak... Aku terjaga. Ya Allah....rupa-rupanya mimpi. "Apa maksudnya?" aku terdetik.

Ahad, April 17, 2011

Dan akhirnya...

Salahkah jika agenda tersendiri turut memberi keuntungan kepada semua? .................................................................................. Tak salah bagiku jika Misbun menyimpan hasrat untuk mengembalikan zaman kegemilangan keluarga Haji Sidek melalui anaknya. Walaupun jika benar itu agenda Misbun, ia tetap memberi kepentingan kepada negara! Tapi itu pendapat aku dan mungkin setara dengan kalian yang sependapat denganku. Namun, siapalah kami. Mendengar, melihat dan berbincang hanya dari kejauhan. Pun begitu, semangat kami dibutuhkan apabila berlangsungnya acara pertandingan! Kalau pun ada orang-orang "berkepentingan", sebaris kerusi pun belum tentu penuh! Menyokong hanya setakat mengibar-ngibarkan bendera dan bertepuk tangan. Alah....ape lah sangat.... Tengoklah kami ini, dengan kompang gendang bagai keraian. Menyanyi bersorak gegak-gempita bagai nak runtuh dewan. Ini belum lagi ditambah nonton dari rumah! Nah...apakah kami ini tidak dibutuhkan? (ntah ape yg tak kene dgn blog aku ni. kalau dalam satu perenggan jugak, harap maaf...dh byk kali dh aku betulkan post ni..huhu...)