Selasa, April 19, 2011

Tsunami

Aku berjalan-jalan berseorangan dari daratan menyusuri jambatan kayu bakau buatan manusia. Ia nampak seperti rapuh namun apabila aku meniti di atasnya, sedikit pun tidak berasa takut dek hempasan air laut mengenainya. Aku berjalan lagi sehingga sampai di tanah yang tidak cukup untuk dipanggil pulau; aku fikir. Banyak gerai-gerai usang yang jualannya terdiri daripada buah-buahan, hasil-hasil tanaman, gerai makanan dan minuman dan ada juga terdapat gerai menjual pakaian seperti kain untuk dibuat baju mahupun t-shirt. Makcik-makcik dan pakcik-pakcik penjual begitu ramah sekali denganku. Tertarik dengan keramahan makcik tersebut aku pun membeli buah salak manis yang cuma berharga RM1.50 sekilo! Aku pinta 4 kilo; lumayan sekali aku kira untukku. Berjalan di atas gerai yang hanya berasaskan kayu bakau; aku terfikir "kukuhkah apabila badai melanda?" Namun jauh di sudut wajah penjual di situ, aku nampak ketenangan terpancar seakan-akan akur dan redha andai musibah melanda. Walaupun bermacam-macam persoalan bermain di fikiran, tidak tergamak untuk aku bertanyakan khuatir terguris naluri mereka. "Makcik, ini apa?" soalku. "Oh...ini keledek kentut," jawabnya. "Kenapa? Anak tak pernah lihat kah?" soal makcik itu lagi. "Ha'ah...tapi mak saya ada pesan, kalau jumpa keledek yang sebesar ibu jari, dia suruh saya beli. Mungkin inilah yang mak saya maksudkan," jawabku. "Ha'ah nak, sekarang ni memang payah nak jumpa keledek macam ni. Kat tanah besar pun takde. Kat sini je ada, nak," ramah makcik itu. "Err...sekilo berapa makcik?" "Dua ringgit je nak." "Hmm...kalau macam tu, bagi saya dua kilo je lah makcik," pintaku. Usai beramah mesra dengan makcik tadi, aku berjalan lagi. Namun, hati seakan tidak enak memaksa untuk aku segera beredar. Belum sempat aku beredar, aku terlihat ombak setinggi 10 kaki sedang menuju ke arah kami. Aku berlari dan lari tetapi aku tidak tahu ke mana harus aku tuju kerana tanah seberang terlalu jauh untuk aku sampai. Terlihat satu binaan seakan-akan konkrit yang kukuh, aku berlindung di sebaliknya. Aku sempat menarik seorang makcik cina untuk berlindung bersamaku. Aku pegang tangan dia sekuat-kuatnya. Aku menarik nafas dalam-dalam dan ombak itu menghempas kami. Kami tenggelam. "Ya Allah...malapetaka apakah ini. Selamatkanlah aku ya Allah..."bisik hatiku. Dan akhirnya ombak itu reda. Ibarat ombak menghempas pantai; hanya sedetik cuma. Dan makcik cina itu segera menarik tanganku untuk sampai ke seberang. "Cepat! Cepat! Aunty tau jalan sini." Aku pantas mengikutnya. Ringan tanganku. Habis semua belian disapu ombak tadi. Maafkan aku mak... Aku terjaga. Ya Allah....rupa-rupanya mimpi. "Apa maksudnya?" aku terdetik.

Tiada ulasan: