Isnin, Disember 12, 2011

Demi Sekaki Payung

Tanpa dirancang, aku mahu menjemput kepulangan jiran di hentian bas yang berbetulan tibanya di waktu makan tengahari. Sengaja bangun bermalasan di hujung minggu untuk membenarkan badan berehat secukupnya telah menyebabkan aku keberatan untuk memasak. Cuaca yang redup dan dingin seolah-olah telah mengizinkan aku untuk berbuat begitu. Aku hanya mengenakan kemeja-T lengan panjang, seluar sukan dan tudung ekspres untuk menjemputnya. Juga berstokin tangan dan kaki seperti biasa. Tanpa mengetahui perancangan Allah, jiran yang mempunyai agenda tersendiri telah mengajakku ke suatu ekspo.

Puluhan ribu manusia mengunjungi ekspo tersebut dengan berpakaian sempurna melainkan aku. Berlegar-legar di situ selama hampir 3jam! "Oh Tuhan, hanya Engkau yang tahu perasaanku walaupun cuba aku sembunyikan dengan sedikit keyakinan." Kehadiran beberapa orang kenamaan yang tidak berapa kukenali, dimeriahkan dengan persembahan daripada pavilion setiap negeri, deejay-deejay Hot Fm, Linda Onn, Ally Iskandar dan Mejar Dr Faiz Khaleed! Oh~

Aku ditarik oleh jiranku ke pentas utama yang ketika itu sedang berlangsung program bual bicara bersama angkasawan kedua negara. Oh~ Ditarik untuk duduk di bangku barisan keempat sudah cukup untuk memperlihatkan wajahku yang tidak semegah ini. Oh~ Aku memberanikan diri untuk melihat wajah Ally. Ternyata dia juga memandangku dan tersenyum. Oh~ Aku mengumpul kekuatan dan keyakinan untuk bertanyakan soalan kepada Dr. Faiz dan ternyata pandanganku terhadap Ally tidak sia-sia apabila pengantara itu memilih untuk menghulurkan mikrofon kepadaku.

"Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu'alaikum wbt. Rasulullah saw bersabda; "Seandainya di tangan kamu terdapat benih sedangkan di hadapanmu adalah kiamat, teruskanlah usaha yang sedang kamu kerjakan." Dr. Faiz, apa pandangan Dr. Faiz, pada ketika negara telah bersedia untuk membeli 10 buah jet pejuang sukhoi, negara seolah-olah telah menggadaikan keselamatannya sendiri dengan menunda pembelian tersebut demi menyalurkan dana tersebut kepada dua orang warganegaranya menjalani latihan untuk menjadi pengembara angkasa lepas yang pada ketika ini memperlihatkan kesan daripada penghantaran itu tidaklah seberapa. Saya bertanyakan ini kerana Dr. Faiz juga merupakan seorang anggota tentera."

Namun, gugup apabila Ally berada di sebelahku, hanya perkataan ini yang keluar; "Apa perasaan Dr. Faiz di saat negara menunda pembelian pesawat sukhoi untuk menampung perbelanjaan pembelajaran angkasawan ke Rusia yang kelihatan seolah-olah telah menggadaikan keselamatan negara." Oh~

Dan oleh kerana menghangatkan suasana dengan bertanyakan soalan, aku dihadiahi sekaki payung tajaan MITI. oh~


Tiada ulasan: