Khamis, Mei 06, 2010

Servis

Berbekalkan pengalaman yang lepas, Ardila yakin bahawa kali ini juga seperti biasa. Mungkin lebih sedikit dari biasa. Maka, Ardila mengeluarkan duit di mesin ATM sekadar yang boleh. Hakikatnya, memang setakat itu yang tinggal.

Sampai di kaunter pusat servis, puan penasihat servis menerangkan bahawa servis kali ini adalah servis premium yang bermaksud, semua bahagian perlu diservis memandangkan penggunaan kereta telah menjangkau selama setahun. Ardila sedikit gugup. Ditanyakan berapa harga keseluruhan, puan tersebut menyebutkan sejumlah nilai. Ardila terdiam. Otaknya berfantasi seketika memikirkan jalan keluar daripada masalah kewangan yang dihadapinya. Dengan tidak semena-mena, Ardila tiba-tiba jatuh pengsan. Lantas bangun, meracau bagai orang sawan disampuk hantu. Tetapi kebanyakan perkataan yang keluar dari bibir Ardila adalah memohon untuk dikurangkan bayaran.

Puan penasihat servis terkejut. Mungkin terkejut akan perkara tersebut yang berlaku sekelip mata atau mungkin faham akan taktik yang Ardila gunakan. Puan tersebut membaca jampi yang mana menyatakan bayaran tetap, sama ada tunai mahupun kad kredit.

Kemudian, Ardila kembali normal. Dia berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Orang sekeliling memandang. Ardila tidak ambil pusing malah yang lebih penting, dia berusaha supaya kereta kesayangannya sihat sentiasa.

Tiada ulasan: