Selasa, Oktober 05, 2010

Berakhirnya Syawwal


Syawwal hampir sangat di penghujungnya. Tahun ini, bukanlah tahun beraya yang meriah bagi aku sekeluarga. Kehilangan kakak sulung tersayang memberi kesan yang amat mendalam. Dia bukan ada apa-apa bahkan bukan sesiapa pun bagi semua orang kecuali aku, mak dan kakak aiza. Perginya di malam Jumaat 23 Ramadan amat dicemburui oleh semua orang yang mengetahui saat kematiannya. Ya, aku juga cemburu tetapi persoalannya adakah aku layak menerima 'darjat' itu di sisi Tuhan?
Sewaktu hayatnya, aku sering mengucapkan kata-kata ini sambil-sambil menyuap dia makan atau ketika memandikannya; "Kakak, kat akhirat nanti, kakak boleh tarik sepuluh orang masuk syurga tau. Dah tarik mak dengan bapak, tarik yayang tau."
Insyaallah...orang yang tiada dosa sepertinya aku mohon supaya dia ditempatkan bersama-sama para syuhada dan dijanjikan syurga. Ameen....

Khamis, September 02, 2010

Rabu, September 01, 2010

Ambang Merdeka

"Bertenang ye cik. Nanti beritahu keluarga yang pesakit terkena jangkitan pada paru-paru. Paru-paru dia sudah sangat teruk. Lagi dengan buah pinggang pun sama." Jelas doktor berbangsa India itu.
.....
...
..
.
.
Penjelasan demi penjelasan doktor berikan agar aku faham. Andai nafas terhenti, mereka tidak akan berbuat apa-apa melainkan membiarkan dia 'pergi' dengan aman..

Aku yang seawalnya tabah tidak terbendung lagi. Malam kemerdekaanku diselubungi pilu..

Isnin, Ogos 30, 2010

Salam 'Merdeka' dariku...

Setelah sekian lama kita menyusun dan mewarnakan aksara merdeka,

kenapa masih ada lagi warga tanah bersejarah ini

yang kenal huruf tetapi terlupa maknanya

yang kenal angka tetapi terlupa nilainya

yang kenal bunyi tetapi terlupa nadanya

yang kenal rentak tetapi terlupa geraknya

yang kenal lagu tetapi terlupa iramanya

yang kenal akhir tetapi terlupa awalnya.

Setelah sekian lama kita membaca dan menghafal aksara merdeka,

kenapa masih ada lagi warga tanah tercinta ini

yang cerah mata tetapi gelap hati

yang cerdik minda tetapi dungu peribadi

yang cantik bahasa tetapi buruk sikap

yang lembut budi tetapi keras lagak

yang merdu suara tetapi sumbang bicara.

Setelah sekian lama kita mencatat dan merakam aksara merdeka,

kenapa masih ada lagi warga tanah pusaka ini

yang impikan kemajuan tetapi menolak teknologi

yang impikan kemakmuran tetapi membelakangkan ekonomi

yang impikan kesejahteraan tetapi mencetuskan pergolakan

yang impikan kegemilangan tetapi meremehkan wawasan.

Setelah sekian lama kita menganalisis dan mentafsir aksara merdeka,

kenapa masih ada lagi warga tanah bertuah ini

yang terlepas kaki tetapi terikat tangan

yang terlepas mata tetapi terikat jiwa

yang terlepas fikir tetapi terikat cita-cita.

Setelah sekian lama kita menjulang dan memarbatkan aksara merdeka,

kenapa masih ada lagiwarga tanah bertuah ini

yang kasihkan bangsa tetapi bencikan pemimpin

yang cintakan agama tetapi menyelewengkan fatwa.

Setelah sekian lama menghargai dan menghormatiaksara merdeka,

kenapa masih ada lagiwarga tanah berdaulat ini

yang menanam bunga tetapi menabur duri.

Karya: Wadi Leta S.A

(sajak sinis untukku dan semua. pertama kali dengar pada tahun 2005 tapi baru ini dapat dikongsikan.)

Jumaat, Ogos 27, 2010

Hiroko, Sebening Sakura..


Berpisah untuk bermula. Bertemu dengan dia di Jepun tetapi bersama dengan dia di Malaysia. Itulah jodoh ketentuan dari-Nya. Menarik kisah seorang gadis bernama Hiroko. Allah menemukannya dengan hidayah-Nya di Malaysia. Bertemu jodoh juga dengan sebangsa dengannya di sini. Dalam keadaan suami telah lama memeluk Islam. Dia memeluk Islam bukan kerana sesiapa tetapi Allah berfirman di dalam Al-Quran; "Barangsiapa diberi petunjuk oleh Allah, dia akan diberi petunjuk tetapi barangsiapa yang disesatkan-Nya, tiada seorang pun yang akan menjadi penolong memberi petunjuk kepadanya."

Walaupun dapat disaksikan perpecahan berlaku di kalangan umat Islam serata dunia, Hiroko dapat menyaksikan kesepakatan dan perpaduan umat Islam. Solat berjemaah, iftar berjemaah, menunaikan haji berjemaah. Subhanallah!

Semoga muslimnya kelahiran kita disegarkan dengan iman seharum sakura...;)